LABUAN: Dua wanita warga Filipina ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Labuan dalam Op Sapu yang dijalankan sekitar wilayah itu pada malam 20 Oktober hingga awal pagi 21 Oktober lalu.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan, operasi bermula jam 11.30 malam dan berakhir jam 4 pagi, dengan seramai 49 individu diperiksa.
Dua wanita berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155].
Kedua-dua tahanan kemudian ditempatkan di Depot Imigresen Wilayah Persekutuan Labuan bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
JIM Wilayah Persekutuan Labuan memaklumkan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras pelanggaran undang-undang imigresen.
Agensi itu turut menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan PATI atau sebarang pelanggaran undang-undang imigresen disaran menyalurkan maklumat berkenaan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia bagi membantu tindakan penguatkuasaan.-DAKWAT RAKYAT POST
