LANGKAWI: Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang disyaki melanggar syarat sah lesen ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis dalam rondaan rutin di perairan Langkawi, semalam.
Vesel berkenaan ditahan kira-kira jam 4.40 petang pada kedudukan sekitar 11.8 batu nautika barat daya Tanjung Belua ketika sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, penahanan itu dilakukan menerusi rondaan di bawah OP AMAN, OP TIRIS 4.0, OP KHAS TANJUNG 2 Siri 1/2026 dan OP GUARD Bil 6/2026.
Menurutnya, vesel berkenaan dikendalikan seorang tekong bersama dua kru warga Thailand berusia antara 29 hingga 52 tahun.
“Hasil pemeriksaan mendapati, vesel berkenaan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Beliau berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan dalam kes itu berjumlah RM500,000.
Vesel, barang kes serta kesemua kru kemudian dibawa ke jeti Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia menegaskan pihaknya akan terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta syarat pelesenan perikanan di Zon Maritim Malaysia.
Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang bagi memelihara keselamatan dan kepentingan negara di perairan Malaysia.
Orang ramai yang mengesan aktiviti menyalahi undang-undang atau kecemasan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis menerusi talian 04-966 2750.-DAKWAT RAKYAT POST
