KUCHING: Lapan lelaki warga asing berusia antara 19 hingga 38 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam sindiket pusat panggilan (calling centre) yang menjalankan penipuan permainan judi dalam talian tidak wujud di Jalan Datuk Tawi Sli, di sini, awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Anak Chabu berkata, tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerusi serbuan di sebuah kediaman kira-kira jam 2.47 pagi.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas peralatan komputer, telefon bimbit dan beberapa peranti lain yang dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti penipuan berkenaan.
Menurut Alexson, hasil semakan dan analisis awal mendapati sindiket terbabit beroperasi sebagai pusat panggilan yang memperdaya mangsa melalui tawaran permainan judi dalam talian yang tidak wujud, dengan menyasarkan individu dari negara jiran.
Kesemua suspek dipercayai bekerja sepenuh masa dalam kegiatan berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong penyerahan harta, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 120(b) Kanun Keseksaan berkaitan pakatan jahat jenayah, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching pada 23 Oktober untuk mendapatkan perintah reman dan permohonan polis diluluskan selama tiga hari.
Dalam pada itu, Alexson menyeru orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah bagi membantu pihak polis mencegah dan membanteras jenayah.
Sebarang maklumat boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan Daerah Kuching menerusi talian 082-244444.-DAKWAT RAKYAT POST
