IPOH: Polis Perak menumpaskan sindiket penipuan perjudian dalam talian yang menyasarkan warganegara Australia menerusi serbuan di sebuah rumah teres tiga tingkat di Kamunting, Taiping, pada 20 Oktober lalu.
Serbuan kira-kira jam 8.05 malam itu membawa kepada penahanan enam lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 31 tahun yang disyaki terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata sindiket itu dipercayai menjalankan operasi sejak Julai lalu dengan menggunakan beberapa platform perjudian dalam talian bagi menarik pelanggan dari Australia.
Menurutnya, siasatan mendapati sindiket menggunakan aplikasi Telegram dan WeChat untuk berkomunikasi dengan pelanggan, selain memanfaatkan akaun bank serta talian telekomunikasi Australia dalam kegiatan mereka.
“Pemeriksaan terhadap komputer yang digunakan mendapati sindiket ini menjalankan aktiviti perjudian dalam talian dengan menyasarkan warganegara Australia,” katanya pada sidang media di Bilik Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, hari ini.
Polis turut merampas 18 telefon bimbit pelbagai jenama, 10 monitor, enam unit CPU komputer dan sebuah penghala internet dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM35,000.
Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menggunakan platform perjudian ONE2BET-AUS, ROLADOLL-AUS dan MAJESTY777-AUS, dengan pakej permainan bernilai antara AUD30 hingga AUD200.
Sindiket itu turut dipercayai menggunakan gambar profil wanita Eropah bagi menarik pelanggan, manakala enam suspek berperanan sebagai ejen mencari pelanggan dan mempromosikan perjudian dalam talian.
Mereka dipercayai menerima bayaran antara RM6,000 hingga RM10,000 sebulan bagi menjalankan kegiatan berkenaan.
Kesemua suspek direman selama empat hari bermula 21 hingga 24 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.
Polis Perak menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras jenayah komersil, khususnya kegiatan penipuan dalam talian yang melibatkan mangsa merentasi sempadan negara.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak terbabit dalam kegiatan sedemikian dan menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak polis.
Sidang media itu turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Mohammad Azlin Sadari dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Perak, ACP Mohd Ridzuan Nor Ihsan.-DAKWAT RAKYAT POST
