SHAH ALAM: Sebuah rumah ibadat tidak berdaftar di Klang dipercayai dijadikan stor penyimpanan dadah selepas polis merampas pelbagai jenis bahan terlarang bernilai RM16.2 juta dalam serbuan di premis berkenaan.
Kegiatan itu terbongkar susulan penahanan seorang lelaki yang bekerja sambilan di rumah ibadat terbabit.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, premis itu merupakan antara empat lokasi yang diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor dalam lima serbuan berasingan di sekitar negeri itu dari 13 hingga 19 Oktober lalu.
Menurutnya, operasi berkenaan menyasarkan empat sindiket berbeza dan membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah, termasuk bunga ganja, ekstasi, ketamin serta heroin.
“Setakat ini, kita percaya kes membabitkan sindiket dadah. Bagaimanapun, kami sedang mengesahkan sama ada aktiviti gangsterisme ataupun kongsi gelap turut terbabit dalam kes ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Beliau berkata, seramai lapan individu terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita, termasuk empat warga asing berusia antara 19 hingga 48 tahun, ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Tiga lelaki serta seorang wanita warga asing ini dipercayai terbabit rangkaian sindiket dadah tempatan serta antarabangsa. Mereka menggunakan pas lawatan sosial untuk masuk ke negara ini dan semakan sedang dijalankan dengan Jabatan Imigresen.
“Ada kalangan suspek warga asing ini baru masuk sehari sebelum ditangkap, ada yang beberapa hari sebelum ditangkap. Mereka dipercayai transit di KLIA sebelum keluar ke destinasi seterusnya, namun kami dapat mengesan dadah dalam bagasi mereka,” katanya.
Mengulas sumber bekalan dadah, Shazeli berkata, bahan terlarang itu dipercayai dibawa dari negara jiran untuk pasaran tempatan dan luar negara.
Semakan polis mendapati hanya seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau membabitkan tujuh kesalahan berkaitan dadah dan jenayah.
Antara dadah yang dirampas ialah 129 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat bunga ganja seberat 81.3 kilogram (kg), 327 paket ketulan mampat ganja seberat 37kg, 3,510 unit katrij cecair ketamin, 40kg ketamin, 84 botol cecair ekstasi, 20.6kg heroin dan 25.4kg ketamin.
Selain itu, polis turut menyita harta bernilai keseluruhan RM54,835 daripada empat suspek tempatan, termasuk sebuah kereta Honda Accord dan Proton Saga.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket terbabit serta mengesan kemungkinan penglibatan pihak lain dalam kegiatan berkenaan.-DAKWAT RAKYAT POST
