RANAU: Dua lelaki tempatan ditahan selepas polis membongkar kegiatan disyaki memproses dan menjual ketum dalam satu operasi di sebuah perkampungan di daerah ini, malam 23 Oktober lalu.
Dalam operasi kira-kira jam 10.40 malam itu, polis turut menemukan cecair dipercayai ketum yang sedang dimasak serta dua bungkusan kotak mengandungi serbuk disyaki ketum seberat kira-kira 60 kilogram (kg).
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud berkata, kejayaan operasi itu hasil maklumat daripada penduduk setempat serta risikan berterusan pihak polis bagi membanteras kegiatan berkenaan.
Menurutnya, seorang suspek berusia 22 tahun dikesan sedang memasak cecair dipercayai ketum ketika serbuan dijalankan.
Seorang lagi lelaki berusia 31 tahun pula dipercayai menunjukkan arah kepada sebuah kenderaan yang kemudian diperiksa pihak polis.
“Hasil pemeriksaan menemukan dua bungkusan kotak dipercayai mengandungi serbuk ketum seberat 60kg yang disembunyikan di bahagian tempat duduk penumpang belakang kenderaan berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Operasi berkenaan dilaksanakan Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam dengan bantuan anggota Pondok Polis Lohan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.
Mursalin berkata, pengambilan dan pemprosesan cecair ketum merupakan kesalahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat Ranau atas kerjasama dan keprihatinan menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan penduduk di daerah berkenaan terus terpelihara.
Katanya, PDRM IPD Ranau akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan menyalahi undang-undang demi melindungi masyarakat setempat.
Beliau turut memaklumkan Program Kesedaran Penyalahgunaan Ketum Komuniti Ranau yang berlangsung di Dewan Serbaguna IPD Ranau pada 26 Ogos lalu memberikan impak positif apabila masyarakat semakin memahami isu penyalahgunaan ketum dan tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan menyalahi undang-undang diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Ranau menerusi talian 088-875222.-DAKWAT RAKYAT POST
