TAWAU: Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun ditahan polis selepas disyaki mengugut untuk membunuh abang kandungnya menggunakan sebilah parang dalam kejadian di Kampung Rancangan Kalabakan, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek ditahan anggota Balai Polis Kalabakan di luar sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan kira-kira jam 9.45 malam pada hari kejadian.
Menurutnya, penahanan itu dibuat susulan laporan polis yang diterima berhubung kejadian ugutan berkenaan.
Katanya, berdasarkan laporan, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam ketika mangsa berada di rumah bersama isteri serta kedua-dua ibu bapanya.
“Suspek didakwa mengamuk secara tiba-tiba sebelum mengacukan sebilah parang, mengajak pengadu bergaduh serta mengugut untuk membunuhnya.
“Mangsa bagaimanapun menyatakan tidak mengetahui punca suspek bertindak sedemikian,” katanya.
Rosdi berkata, polis turut merampas sebilah parang bersarung yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Beliau menegaskan bahawa sebarang bentuk ugutan atau penggunaan senjata untuk menakut-nakutkan orang lain tidak boleh dipandang ringan.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya menyelesaikan perselisihan faham secara aman dan mendapatkan bantuan pihak berkuasa sekiranya berdepan ancaman keselamatan.-DAKWAT RAKYAT POST
