LAHAD DATU: Sabah yang kini berpotensi menjadi lokasi pelancaran roket di Malaysia, dilihat bakal membuka peluang kepada pembangunan industri angkasa lepas sekaligus menarik pelaburan baharu ke negeri ini.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Yusof Apdal, berkata minat pelabur terhadap potensi pembangunan tapak pelancaran roket di Sabah semakin mendapat perhatian berikutan kedudukan geografinya yang sesuai untuk dipertimbangkan bagi industri berkenaan.
Beliau berkata usaha membangunkan industri itu merupakan sebahagian daripada langkah memperkenalkan sektor baharu yang berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Menurutnya, industri pelancaran roket sudah lama berkembang di negara maju, manakala Malaysia berpeluang meneroka bidang berkenaan berdasarkan kelebihan lokasi yang dimiliki.
“Ramai yang berminat untuk melabur, terutamanya di Sabah, dan kita sedang menantikan kesediaan kerajaan negeri untuk mempercepatkan proses bagi merealisasikan usaha membangunkan tapak pelancaran roket di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Apresiasi dan Graduasi (MAGA) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Terusan Kali Ke-16 Tahun 2026, di sini.
Yusof berkata, cadangan itu berpotensi menjadikan Sabah antara lokasi yang boleh dipertimbangkan bagi pembangunan industri pelancaran roket di Malaysia, tertakluk kepada penelitian dan proses berkaitan oleh pihak kerajaan.
Bagaimanapun, beliau menyatakan keyakinan terhadap potensi Sabah untuk menarik pelabur dalam industri berkenaan sekiranya usaha pembangunan dapat dilaksanakan melalui kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Yusof sebelum ini memaklumkan bahawa Lahad Datu dikenal pasti sebagai antara lokasi yang sesuai untuk pembangunan tapak pelancaran roket dan satelit di negara ini berdasarkan kajian yang dijalankan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Beliau berkata pembangunan industri angkasa lepas bukan sahaja melibatkan aktiviti pelancaran roket, malah berpotensi membuka ruang kepada pertumbuhan sektor teknologi berkaitan yang mampu menyumbang kepada ekonomi negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Yusof turut menekankan kepentingan memperkukuh minat pelajar terhadap sains, teknologi dan inovasi bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan yang mampu menyokong pembangunan industri berteknologi tinggi pada masa hadapan.
Beliau berkata, inisiatif seperti pembukaan kelas digital di sekolah mampu membantu memperluas pendedahan pelajar terhadap sains dan inovasi, sekali gus menggalakkan mereka meneruskan pengajian dalam bidang sains tulen.
“Kita mahu anak-anak kita bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi turut berpeluang menjadi pencipta teknologi yang dapat menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya.
Yusof berkata demikian ketika mengulas usaha SMK Terusan memperkenalkan kelas digital sebagai pendekatan untuk memperkukuh pembelajaran sains dan teknologi dalam kalangan pelajar sekolah menengah.
Beliau berharap inisiatif berkenaan dapat menjadi contoh kepada sekolah lain dalam usaha meningkatkan minat pelajar terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), selaras dengan keperluan negara untuk melahirkan lebih ramai bakat tempatan dalam sektor berkenaan.-DAKWAT RAKYAT POST
