KOTA KINABALU: Pertubuhan Rumpun Etnik Sabah (PREBSAH) menggesa Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKN Sabah) dan pihak pengurusan Hospital Queen Elizabeth supaya duduk semeja bagi mencari penyelesaian terhadap isu kelewatan pesakit buah pinggang mendapatkan rawatan hemodialisis.
Presiden PREBSAH, Haji Yahya Haji Ahmad berkata, isu pesakit yang disahkan mengalami penyakit buah pinggang kronik (CKD) tahap lima dan terpaksa menunggu giliran untuk memulakan rawatan perlu diberikan perhatian segera.
Menurut beliau, pesakit yang memerlukan rawatan hemodialisis berdepan tempoh menunggu bagi menjalani prosedur penyediaan akses vaskular atau tapak saluran darah sebelum rawatan dapat dimulakan.
Keadaan itu, katanya, boleh menambahkan tekanan kepada pesakit dan keluarga, khususnya mereka yang sedang berdepan masalah kesihatan serius serta memerlukan rawatan berterusan.
PREBSAH berpandangan, usaha mencari penyelesaian perlu dilaksanakan secara bersama oleh pihak jabatan kesihatan dan pengurusan hospital bagi mengenal pasti langkah yang boleh mempercepatkan proses berkenaan.
Menurut kenyataan pertubuhan itu, pesakit tidak seharusnya dibiarkan menanggung kebimbangan mengenai tempoh menunggu rawatan ketika keadaan kesihatan mereka semakin merosot.
PREBSAH turut membangkitkan beberapa isu lain dalam perkhidmatan kesihatan awam, termasuk kesesakan wad, kekurangan doktor dan tempoh menunggu yang panjang bagi mendapatkan rawatan tertentu, termasuk pembedahan jantung.
Selain itu, isu kemudahan tempat letak kereta di hospital ketika hujan lebat turut dibangkitkan, susulan keadaan yang didakwa menyukarkan pesakit dan pengunjung.
Sehubungan itu, PREBSAH berharap pihak berwajib dapat meneliti masalah berkenaan secara menyeluruh serta mengambil langkah penambahbaikan demi memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap dan bersesuaian dengan keperluan mereka.
PREBSAH menegaskan bahawa isu berkaitan kesihatan rakyat memerlukan perhatian dan tindakan bersama, selain perancangan penyelesaian yang mampu memberikan manfaat kepada pesakit serta keluarga mereka.-DAKWAT RAKYAT POST
