KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C bersama tujuh kru warga Vietnam selepas disyaki melakukan aktiviti mencandat sotong di luar kawasan yang dibenarkan, kira-kira 9.0 batu nautika dari timur Kuala Pahang.
Vesel berkenaan ditahan dalam operasi penguatkuasaan kira-kira jam 12.15 tengah malam, 22 Oktober lalu, selepas dikesan melakukan aktiviti mencurigakan oleh bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan menerusi Op Makmur dan Preventive SAR.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan tujuh kru warga Vietnam, termasuk tekong, yang berusia antara 19 hingga 38 tahun.
Menurutnya, vesel itu disyaki melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985 apabila menjalankan aktiviti mencandat sotong pada jarak kurang daripada 12 batu nautika dari pantai.
Pemeriksaan lanjut turut mendapati kesemua kru memiliki dokumen pengenalan diri yang diragui kesahihannya dan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Vesel berkenaan bersama tujuh kru, termasuk tekong, serta hasil laut yang dianggarkan seberat 500 kilogram kemudian diiring ke Jeti Penerpa Kuantan Slipway untuk pemeriksaan lanjut dan tindakan pegawai penyiasat Maritim Malaysia.
Che Engku Suhaimi berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang di laut, khususnya dalam membanteras aktiviti perikanan yang melanggar peraturan serta penyalahgunaan lesen dan dokumen berkaitan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan di laut diminta menyalurkannya kepada Maritim Malaysia menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang.-DAKWAT RAKYAT POST
