PENAMPANG: Selepas lebih 17 tahun menjadi buruan polis, seorang lelaki yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan di Beverly Hills, di sini, akhirnya berjaya ditahan di Kolombong, Inanam, Kota Kinabalu, kelmarin.
Suspek berusia 42 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di sebuah kediaman hasil usaha pengesanan dan siasatan berterusan pihak polis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintendan Arisanti Aziz berkata, lelaki terbabit dikehendaki bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki yang dilaporkan berlaku pada 11 April 2009 di Beverly Hills, Penampang.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.
“Jika tidak dijatuhkan hukuman mati, pesalah turut berdepan hukuman sebatan tidak kurang 12 kali, tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang terpakai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Arisanti berkata, kejayaan menahan suspek membuktikan komitmen dan kesungguhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah, termasuk mengesan individu yang dikehendaki berkaitan kes yang berlaku sejak sekian lama.
Katanya, polis akan terus mempergiat usaha mengesan individu yang disyaki terbabit dalam jenayah serius bagi memastikan mereka dibawa ke muka pengadilan.
Penahanan itu sekali gus menunjukkan usaha pengesanan polis terhadap individu yang dikehendaki tetap diteruskan walaupun kes berkenaan sudah berlarutan lebih sedekad.-DAKWAT RAKYAT POST
