TENOM: Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah (HPPNS) 2026 mencatat sambutan menggalakkan apabila menarik kira-kira 25,000 pengunjung dalam tempoh dua hari sejak Jumaat lalu.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, kira-kira 8,000 pengunjung direkodkan pada hari pertama, manakala 17,000 lagi dianggarkan hadir pada hari kedua di Padang Pekan Tenom dan Dewan Masyarakat Datuk Seri Panglima Antanom.
Menurutnya, sambutan itu membuktikan program berkenaan terus menjadi platform penting untuk menghimpunkan peladang, penternak, nelayan dan penoreh getah dari seluruh Sabah, selain memberi peluang kepada masyarakat berkongsi pengalaman serta mendapatkan maklumat mengenai perkembangan sektor agromakanan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian HPPNS 2026 yang dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang diwakili Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, kelmarin.
“Kita juga menerima kira-kira 240 pengusaha gerai, bukan sahaja daripada agensi kerajaan dan swasta, tetapi juga industri makanan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Jamawi berkata, perjanjian kerjasama antara Lembaga Padi dan Beras Negeri Sabah dengan Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia dimeterai bagi membangunkan tanah terbiar untuk penanaman padi, dengan nilai dianggarkan RM17.5 juta sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 hingga 2030.
Katanya, kerjasama antara agensi Persekutuan dan negeri itu diharap dapat memberi manfaat kepada pengusaha padi di Sabah, khususnya dalam meningkatkan penggunaan tanah pertanian yang belum diusahakan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Hajiji atas peruntukan RM15 juta kepada Lembaga Padi dan Beras Negeri Sabah tahun ini bagi memenuhi keperluan jentera pertanian, termasuk untuk kerja membajak, menanam dan menuai padi.
Menurutnya, kemudahan jentera itu diharap dapat meningkatkan produktiviti serta menarik minat golongan muda untuk terus menceburi bidang pertanian.
Jamawi berkata, kementeriannya turut merancang mengusahakan sawah padi terbiar di Kota Belud dan Kota Marudu menerusi pendekatan ladang mini (mini estate), dengan kerjasama Lembaga Pertubuhan Peladang serta syarikat yang berminat menguruskan kawasan berkenaan.
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13, kementerian juga akan mempergiat pembangunan tanaman rumbia di Beaufort dan tanaman jagung di Kota Marudu, selain meneruskan usaha memulihkan sawah padi terbiar.
Beliau berkata, penganjuran HPPNS di kawasan luar bandar memberi peluang kepada masyarakat tani menimba ilmu, berkongsi pengalaman serta mendapatkan pendedahan mengenai teknologi dan amalan pertanian daripada agensi kerajaan dan pengusaha berjaya.
“Kebanyakan pelanggan kami adalah masyarakat luar bandar. Mereka memerlukan program seperti ini untuk mendapatkan ilmu dan mengetahui perkembangan dalam sektor pertanian,” katanya.
Sehubungan itu, kementerian merancang meneruskan program seumpama itu di kawasan luar bandar sehingga 2029, dengan Beaufort dicadangkan menjadi tuan rumah pada tahun depan.
Jamawi berkata, penganjuran HPPNS juga berpotensi merancakkan pelancongan berasaskan pertanian melalui kerjasama dengan pengusaha pelancongan, sekali gus membuka peluang menjana pendapatan kepada masyarakat setempat.
Menurutnya, Beaufort mempunyai potensi untuk mengembangkan industri rumbia sebagai sumber makanan, selain memperkasakan kegiatan akuakultur termasuk penternakan udang dan ikan.
Dalam pada itu, beliau berkata, sambutan terhadap pakej perjalanan kereta api ke Tenom sempena HPPNS amat menggalakkan sehingga menyebabkan kesesakan ketika orang ramai mendapatkan tiket.
Katanya, perkara itu di luar kawalan kementerian kerana perkhidmatan kereta api dikendalikan Jabatan Keretapi Negeri Sabah yang turut berdepan kekangan kapasiti.
Beliau berharap kapasiti perkhidmatan berkenaan dapat ditingkatkan bagi menyokong Tahun Melawat Tenom 2027, yang antara tarikannya ialah pengalaman perjalanan menggunakan kereta api.
Jamawi berkata, sambutan HPPNS 2026 menunjukkan potensi pelancongan berasaskan pertanian dan pengalaman tempatan untuk menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan luar bandar Sabah.
Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Rubin Balang; Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin; Pembantu Menteri I dan II MAFFI, Datuk Haji Ruslan Muharam dan Datuk Hendrus Anding; Setiausaha Tetap MAFFI, Datuk Ts. Haji Jifrin Haji Mohamad; Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew serta ketua-ketua jabatan dan pemimpin setempat.-DAKWAT RAKYAT POST
