PENAMPANG: Seorang lelaki berusia 34 tahun maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Datuk Panglima Banting, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu.
Pemandu kereta berusia 42 tahun pula dilaporkan mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintendan Arisanti Aziz berkata, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda itu sedang dalam perjalanan dari arah Bukit Padang.
Menurutnya, pemandu kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan kereta yang dipandu lelaki berusia 42 tahun itu.
“Akibat kemalangan itu, pemandu pacuan empat roda meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital, manakala pemandu kereta cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Arisanti berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni, menerusi talian 019-8095133 bagi membantu siasatan.-DAKWAT RAKYAT POST
