AYER KEROH: Barisan Nasional (BN) Melaka mempertaruhkan lapan muka baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, selain mengekalkan beberapa penyandang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pemilihan calon baharu dibuat bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada rakyat, selain memberi peluang kepada individu yang dikenal pasti sesuai berdasarkan kajian parti.
Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, terdapat penyandang yang tidak lagi berhasrat meneruskan khidmat, sekali gus membuka ruang kepada calon baharu untuk mengambil alih tanggungjawab berkenaan.
“Saya tidak menggugurkan, sebab apa? Dewan telah dibubarkan.
“Jadi, kita memilih calon-calon baharu yang boleh meneruskan perkhidmatan kepada rakyat tempatan. Ada yang tidak mahu lagi meneruskan jawatan dan kita memberikan ruang kepada muka baharu untuk terus memberikan perkhidmatan kepada kawasan-kawasan yang telah kita buat kajian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon BN Melaka di sini, malam tadi.
Ab Rauf yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Melaka berkata, gabungan itu akan bertanding di 21 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN, manakala tujuh kerusi diperuntukkan kepada rakan strategiknya.
Antara calon yang diumumkan ialah Datuk Haji Abdul Hakim Wahid di Masjid Tanah, Ahmad Nazril Abdul Aziz di Durian Tunggal, Nandarajah Selapa di Gadek dan Datuk Mustafa Musa di Taboh Naning.
Di Tangga Batu, Datuk Rais Datuk Wira Yassin yang sebelum ini mewakili DUN Paya Rumput akan bertanding di Sungai Udang, manakala Datuk Lim Ban Hong dikekalkan di Klebang.
BN turut menampilkan Puan Siti Aishah Mahmood di Pengkalan Batu, Datuk Muhammad Ridwan Mohd Ali di Ayer Molek, Datuk Azman Abdullah di Serkam dan Jazli Pit di Sungai Rambai.
Dalam perkembangan berkaitan, Ab Rauf berkata, MCA akan terus bertanding di dua kerusi yang dimenanginya sebelum ini, manakala MIC kekal dengan satu kerusi.
Beliau turut menegaskan rundingan pembahagian kerusi bersama rakan strategik telah dimuktamadkan, dengan BN bertanding di 21 kerusi dan tujuh lagi diperuntukkan kepada rakan gabungan berkenaan.
“Kenapa perlu ada pertindihan? Tak perlu bertindih.
“Kita telah sampai ke peringkat memuktamadkan segala bentuk rundingan yang mana kita mempertaruhkan 21 kerusi dan memberikan ruang tujuh kerusi kepada rakan strategik. Saya tak nampak ada masalah,” katanya.
Mengulas mengenai manifesto BN Melaka, beliau berkata, ia dijadualkan dilancarkan seminggu selepas hari penamaan calon, dengan memberi tumpuan kepada aspek ekonomi, pembangunan masyarakat, kebajikan dan sosioekonomi.
Ab Rauf turut menegaskan BN akan mengamalkan pendekatan kempen yang sihat tanpa menyebarkan fitnah, hasutan atau kebencian terhadap pihak lawan.
Sebaliknya, katanya, BN akan menumpukan perhatian kepada rekod perkhidmatan dan usaha yang dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbiran untuk dinilai oleh rakyat.
“Kita tak menceritakan jahat orang untuk baik kita. Kita tak memikirkan buruk orang untuk nampak kita elok.
“Kita membuat kerja yang terbaik kerana rakyat menilai daripada apa yang kita buat,” katanya.
Beliau berkata, senarai calon yang diumumkan telah dimuktamadkan selepas mengambil kira pelbagai aspek dan tidak akan berubah, kecuali jika berlaku keadaan yang tidak dapat dielakkan.-DAKWAT RAKYAT POST
