TAWAU: Bekalan air menggunakan lori tangki terus digerakkan bagi membantu penduduk Tawau yang berdepan gangguan bekalan susulan masalah kualiti air mentah Sungai Tawau.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata isu berkenaan sudah dibangkitkan dalam Mesyuarat Kabinet Sabah, Rabu lalu.
Beliau berkata, gangguan bekalan air itu dipercayai berkait dengan keadaan cuaca kering dan kekurangan hujan berpanjangan yang menjejaskan sumber air mentah untuk dirawat sebelum disalurkan kepada pengguna.
Menurutnya, susulan perkara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, mengarahkan Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah supaya Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Tawau bertindak lebih proaktif menghantar bekalan air ke kawasan terjejas.
“Keutamaan ketika ini adalah membantu memenuhi keperluan harian penduduk sepanjang gangguan bekalan air berlaku.
“Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, turut memberi jaminan bahawa Pengarah JANS akan memantau perkara ini dan segala keupayaan yang ada digerakkan bagi menyalurkan bekalan air kepada penduduk,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Nizam berkata, berdasarkan maklumat terkini Jabatan Air Bahagian Tawau, operasi Loji Rawatan Air (LRA) Utara masih terjejas berikutan masalah kualiti air mentah Sungai Tawau.
Katanya, walaupun hujan sudah turun, taburan hujan di kawasan tadahan masih belum mencukupi untuk meningkatkan paras sungai dengan ketara.
“Pemantauan dan proses rawatan air diteruskan bagi memastikan bekalan yang disalurkan memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan.
“Pada masa sama, penghantaran bantuan air menggunakan lori tangki diteruskan mengikut kemampuan operasi semasa bagi mengurangkan kesulitan penduduk,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan terus berhubung dengan kementerian berkaitan dan JANS bagi menyampaikan keperluan penduduk serta mendapatkan perkembangan terkini berhubung penghantaran bantuan dan status bekalan air di kawasan terjejas. – DAKWAT RAKYAT POST
