SEMPORNA: Pembangunan kemahiran tenaga kerja dan peningkatan produktiviti menjadi fokus Persatuan Pengusaha Syarikat Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna (PUSPABUMI) bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dalam memperkukuh daya saing industri pelancongan daerah ini menjelang Visit Sabah 2027.
Usaha itu dilaksanakan menerusi Program Outreach ADI yang menjadi platform perkongsian ilmu, peningkatan kemahiran bakat tempatan serta penerapan amalan kerja lebih sistematik bagi meningkatkan kecekapan pengusaha dan tenaga kerja industri.
Pengarah MPC, Mohamad Muzaffar Abdul Hamid, berkata kerjasama strategik itu bertujuan memperkukuh pembangunan modal insan tempatan, sekali gus menyokong pertumbuhan industri pelancongan Semporna yang lebih produktif, mampan dan berdaya saing.
Setiausaha PUSPABUMI, Anyrishah Mohd Shah, berkata peningkatan kemahiran pekerja dan kualiti perkhidmatan perlu diberi perhatian seiring pembangunan kemudahan pelancongan bagi memastikan Semporna mampu memenuhi jangkaan pelancong.
“Matlamat kita bukan sekadar membangunkan premis dan kemudahan pelancongan, tetapi turut memastikan kemahiran pekerja, kualiti perkhidmatan dan tahap hospitaliti di Semporna mencapai standard kecemerlangan tertinggi,” katanya.
Menurutnya, Semporna perlu terus memperkukuh reputasinya bukan sahaja melalui keindahan alam semula jadi dan pembangunan resort, malah menerusi tenaga kerja berkemahiran tinggi serta layanan hospitaliti yang cemerlang.
Katanya, pembangunan fizikal perlu bergerak seiring dengan pembangunan modal insan bagi memastikan penggiat industri tempatan mampu menawarkan perkhidmatan berkualiti dan bersaing dengan destinasi pelancongan lain.
“Pembangunan fizikal mesti seiring dengan pembangunan modal insan. Inilah langkah penting untuk menjadikan Semporna sebuah daerah pelancongan yang lebih maju, kompetitif dan bersedia menyambut Visit Sabah 2027 serta Visit Malaysia 2026,” katanya.
Program berkenaan diharap dapat meningkatkan profesionalisme penggiat industri pelancongan tempatan, selain memperkukuh kesiapsiagaan Semporna menghadapi peningkatan permintaan pelancong dan merebut peluang ekonomi daripada sektor berkenaan.-DAKWAT RAKYAT POST
