SANDAKAN: Parti Warisan (Warisan) terbuka bekerjasama dengan parti politik lain bagi menghadapi pilihan raya akan datang, namun menegaskan kerjasama itu perlu berasaskan keikhlasan dan sikap saling menghormati.
Presidennya, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, kerjasama antara parti penting bagi memperkukuh suara Sabah di peringkat Persekutuan, mengambil kira negeri itu hanya mempunyai 25 daripada 222 kerusi Parlimen.
Menurutnya, pengalaman bekerjasama dengan pelbagai pihak sebelum ini menjadi pengajaran kepada Warisan untuk memperbaiki kelemahan dan merangka pendekatan lebih baik bagi menghadapi cabaran politik akan datang.
“Kita suka atau tidak, kita perlu bekerjasama kerana Sabah hanya mempunyai 25 kerusi daripada 222 kerusi di peringkat Persekutuan.
“Dalam kerjasama itu, perlu ada keikhlasan dan kebaikan. Kekuatan sesebuah parti boleh membantu menampung kelemahan parti lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan dan Pemilihan Warisan 2026, di sini, hari ini.
Mengulas kemungkinan kerjasama dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Shafie berkata, perkara itu belum perlu dibincangkan secara terperinci.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang kerjasama politik perlu mengambil kira kekuatan parti dan sokongan akar umbi, bukannya sekadar mengejar kerusi.
“Tidak ada ertinya kita meletakkan calon kalau tidak menang. Kita perlu memastikan siapa yang boleh menang.
“Namun, jangan pula apabila kita mempunyai kekuatan, kita mahu mengambil semuanya. Kita perlu berpegang kepada nilai sebagai manusia dan pemimpin,” katanya.
Shafie berkata, beliau akan terus mengambil iktibar daripada pengalaman politik lalu bagi memastikan kerjasama yang dibentuk mampu memberikan manfaat kepada semua pihak.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pemimpin supaya turun padang dan mendekati rakyat secara langsung, bukannya hanya bergantung kepada populariti di media sosial seperti TikTok dan WhatsApp.
Katanya, suara rakyat di peringkat akar umbi perlu didengar bagi memastikan perjuangan politik benar-benar memenuhi keperluan masyarakat.
Dalam perkembangan sama, Shafie berkata, Warisan akan bertanding di 26 kerusi pada pilihan raya akan datang bagi meneruskan perjuangan membawa suara rakyat Sabah.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pemangku Timbalan Presiden STAR, Datuk Lawrence Gimbang dan Pemangku Presiden KDM, Priscella Peter.-DAKWAT RAKYAT POST
