SANDAKAN: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal tidak menolak kemungkinan wujud campur tangan pihak luar yang cuba mencetuskan perpecahan dalam parti itu ketika pemilihan kepimpinan Warisan 2026.
Bagaimanapun, beliau yakin perwakilan parti itu matang dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang usaha yang boleh menjejaskan perpaduan mereka.
Shafie berkata, gerakan di media sosial termasuk TikTok yang berpotensi memecahbelahkan parti adalah sesuatu yang sukar dielakkan, namun beliau tidak mengetahui pihak yang bertanggungjawab melakukannya.
“Memang wujud. Ini memang kita tidak boleh elakkan. TikTok itu ada, tetapi kita tidak tahu siapa yang melakukannya.
“Saya yakin perwakilan kita matang. Ini bukan pemilihan yang baharu kerana kita sudah melalui perjalanan selama 10 tahun dan mengadakan sembilan kali mesyuarat agung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan dan Pemilihan Warisan 2026 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Shafie berkata, perkara lebih penting ketika pemilihan adalah memastikan semua calon dan perwakilan memahami hala tuju parti serta matlamat perjuangan untuk membela kepentingan rakyat Sabah.
Katanya, pemilihan kepimpinan tidak seharusnya menjadi medan merebut jawatan semata-mata, sebaliknya platform memperkukuh parti dan meneruskan perjuangan sejak penubuhannya.
“Yang penting, kita mesti mempunyai hala tuju yang jelas dan memahami tujuan sebenar perjuangan ini.
“Bukan untuk merebut jawatan, tetapi untuk merealisasikan apa yang diperlukan oleh rakyat di negeri Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Warisan memberi kebebasan kepada perwakilan memilih pemimpin yang diyakini mampu membawa parti ke hadapan tanpa keputusan ditentukan presiden atau pemimpin tertentu.
Menurutnya, amalan demokrasi itu penting bagi memastikan suara dan kehendak perwakilan diberikan ruang sewajarnya dalam menentukan kepimpinan parti.
Shafie turut berharap pemilihan berkenaan melahirkan barisan kepimpinan yang mampu memperkukuh perjuangan Warisan, khususnya dalam memperjuangkan hak Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, antara perkara yang perlu terus diberi perhatian ialah tuntutan hasil 40 peratus kepada Sabah, selain hak rakyat dalam bidang pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan.-DAKWAT RAKYAT POST
