MUKAH: Seorang pemandu lori berusia 53 tahun mengalami sakit kepala selepas lori tiga tan dipandunya terbalik di tepi jalan susulan perlanggaran dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 28, Jalan Balingian-Kuala Balingian, Balingian, Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang pada 26 Oktober itu, mangsa dirujuk ke Hospital Bintulu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden Muhamad Rizal Alias berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila bas ekspres jenis Hino dari arah Mukah menuju ke Bintulu dipercayai cuba memotong lori kecil jenis Toyota di hadapannya.
Katanya, pada masa sama, lori berkenaan dipercayai sedang membelok ke kanan sebelum bas ekspres itu melanggar bahagian belakangnya kerana gagal mengelak.
“Akibat perlanggaran itu, lori kecil berkenaan hilang kawalan sebelum terbalik di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemandu bas ekspres dan kesemua 12 penumpang tidak mengalami kecederaan.
Penumpang bas berkenaan kemudian dipindahkan ke bas lain bagi meneruskan perjalanan ke Bintulu.
Menurutnya, keadaan jalan di lokasi kejadian adalah lurus, dua hala, rata dan kering.
Kemalangan itu menyebabkan kerosakan pada bahagian hadapan bas ekspres, manakala lori kecil mengalami kerosakan pada bahagian belakang dan bumbung.
Muhamad Rizal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, polis sudah menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dan mengarahkan kedua-dua kenderaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk siasatan lanjut.
Polis turut mengesan saksi bebas serta mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera papan pemuka (dashcam) bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Jimmy anak Langan di talian 011-15616525.-DAKWAT RAKYAT POST
