KOTA KINABALU: Pertengkaran berhubung wang RM20 berakhir dengan kematian seorang pekerja ladang kelapa sawit apabila rakannya dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, Isnin.
Pesuruhjaya Kehakiman, Ratanah Devi Yusof Perumal menjatuhkan hukuman terhadap Risdi Baharuddin, 29, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan menyebabkan kematian mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
Tertuduh warga Indonesia itu diperintahkan menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh ditangkap pada 31 Januari 2025.
Lelaki yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu turut dirujuk kepada Jabatan Imigresen.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Risdi menyebabkan kematian Jiecy Rondian, yang juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, antara jam 6 petang hingga 8 malam pada 30 Januari 2025.
Kejadian berlaku di rumah kongsi pekerja Ladang Sawit Koperasi Anak-Anak Tempatan Pantai Barat, Jalan Ulu Bongawan, Papar.
Risdi pada asalnya didakwa atas pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima maklumat mengenai pergaduhan di kawasan rumah kongsi pekerja ladang berkenaan kira-kira jam 8.10 malam pada 30 Januari 2025.
Siasatan mendapati tertuduh dan mangsa bekerja di ladang sama serta tinggal bersama isteri masing-masing di rumah kongsi berhampiran.
Pada hari kejadian, pertengkaran mulut berlaku antara mereka berhubung wang RM20 yang dipinjam tertuduh daripada isteri mangsa.
Mangsa dikatakan menyindir tertuduh mengenai wang berkenaan sehingga pertengkaran menjadi tegang dan beberapa individu di kawasan rumah kongsi cuba meleraikan mereka.
Kedua-duanya kemudian dinasihati supaya pulang ke rumah masing-masing sebelum pertengkaran tercetus semula.
Tertuduh kemudiannya masuk ke rumahnya dan mengambil sebilah pisau berhulu kayu berukuran kira-kira 27 sentimeter sebelum keluar semula walaupun cuba dihalang isterinya.
Tertuduh kemudian menyerang mangsa yang ketika itu dipeluk isterinya dari belakang, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah.
Mangsa sempat bangun dan mengambil sebilah sabit dari dapur sebelum keluar semula, namun seorang pekerja ladang kemudian menyambutnya ketika hampir rebah dan membaringkannya di atas tanah.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Tertuduh melarikan diri selepas kejadian sebelum ditahan polis pada 31 Januari 2025 di Kampung Ulu Lumagar, Bongawan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lovely Natasha Charles, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Siasatan kes dikendalikan Pegawai Penyiasat, Inspektor Desmond Tanggapan.-DAKWAT RAKYAT POST
