PERLIS: Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) maut, manakala tiga lagi cedera selepas bot operasi yang dinaiki mereka terlibat dalam perlanggaran ketika operasi menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Kuala Sungai Padang, malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.37 malam itu, bot samaran Maritim Malaysia, Bot Teraju 687, dipercayai dihimpit sebuah bot yang disyaki membawa PATI warga Myanmar sebelum berlanggar dengan struktur konkrit berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Sungai Padang.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, insiden berlaku ketika sepasukan anggota sedang melaksanakan operasi khas bagi menahan bot berkenaan.
Akibat perlanggaran itu, tiga anggota tercampak ke laut, dengan seorang dilaporkan hilang manakala dua lagi berjaya diselamatkan.
Mangsa yang hilang, Laskar Kanan Teknikal Maritim Mohd Roshaimi bin Mohd Ridzuan, 41, ditemukan pasukan operasi bersama penduduk kampung kira-kira jam 1.30 pagi dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada jam 3 pagi.
Tiga anggota yang terlibat dalam insiden itu turut mengalami kecederaan, termasuk patah pergelangan tangan, sakit di bahagian dada serta kesakitan pada rusuk kiri dan tangan kiri.
Kesemua anggota yang cedera dibawa ke Hospital Kangar untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Dalam operasi sama, Maritim Malaysia berjaya menahan 11 individu, terdiri daripada sembilan PATI warga Myanmar iaitu tujuh lelaki dan dua wanita, serta dua tekong warga Thailand berhampiran Jeti Kuala Sungai Padang.
Pemeriksaan awal mendapati mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Kesemua individu terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Perlis untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia memandang serius insiden berkenaan dan akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Agensi itu turut menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh usaha membanteras kemasukan PATI melalui laluan laut negara, dengan keselamatan anggota penguat kuasa kekal sebagai keutamaan.
Maritim Malaysia turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Roshaimi serta menghargai pengorbanan dan khidmat bakti beliau dalam menjalankan amanah menjaga keselamatan serta kedaulatan perairan negara.-DAKWAT RAKYAT POST
