KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengambil alih siasatan kes kematian seorang lelaki tempatan, Noorizwan bin Zulkefly, yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis pada 1 Oktober 2026.
Pengarah JSJ Bukit Aman, CP Datuk M. Kumar A/L S. Muthuvelu berkata, siasatan dijalankan Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) JSJ di bawah Seksyen 331 Kanun Keseksaan.
Seksyen berkenaan melibatkan perbuatan dengan sengaja menyebabkan cedera parah bagi memeras pengakuan bersalah atau memaksa pemulangan harta, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Beliau berkata, klasifikasi siasatan itu dibuat selepas rakaman percakapan pakar perunding perubatan forensik dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) yang menjalankan bedah siasat menunjukkan terdapat kecederaan luaran pada beberapa bahagian tubuh mangsa.
Menurut beliau, corak kecederaan berkenaan selari dengan trauma tumpul dan bukan akibat perbuatan sendiri.
Bagaimanapun, laporan lengkap bedah siasat bagi mengesahkan punca kematian masih belum diperoleh kerana analisis makmal masih dijalankan.
PDRM kini menunggu maklumat lanjut daripada pihak hospital berhubung perkara itu.
Siasatan turut diteruskan bagi mengenal pasti pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam pengendalian serta pengurusan mangsa ketika berada dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Kuala Lumpur.
Kumar menegaskan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan profesional tanpa sebarang usaha melindungi mana-mana pihak bagi memastikan keadilan ditegakkan mengikut undang-undang.
Beliau berkata, PDRM komited memastikan ketelusan dan integriti sentiasa diutamakan dalam siasatan serta tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku.-DAKWAT RAKYAT POST
