TAWAU: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis MDMA atau ekstasi seberat 609.89 gram.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohammad Shahrulrizan Razali, 23, berikutan kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis MDMA atau ekstasi berkenaan di kawasan Globinaco Sdn Bhd (Tawau), Taman Unipark, Jalan Utara, di sini, kira-kira jam 3 petang, 13 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan 12 sebatan, jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Majistret Don Stiwin Malanjum menetapkan 24 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia diperoleh.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, media melaporkan tertuduh bersama tiga lagi sahabatnya ditahan dalam serbuan Ops Tapis di Taman Unipark, Jalan Utara, di sini, 13 Oktober lalu.
Hasil serbuan itu, polis menemukan 1,408 biji pil disyaki ekstasi dengan anggaran berat 609.89 gram bernilai RM98,560.-DAKWAT RAKYAT POST
