KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyokong cadangan membangunkan Taman Perindustrian Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu sebagai Zon Ekonomi Khas BIMP-EAGA bagi memperkukuh sektor perindustrian dan menarik pelaburan ke Sabah.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, cadangan yang dikemukakan Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick itu berpotensi menjadikan Sabah sebagai pintu masuk timur Malaysia atau Eastern Gateway to Malaysia.
Beliau berkata, pembangunan berkenaan wajar dilaksanakan menerusi kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi memanfaatkan potensi kawasan perindustrian strategik itu.
“Saya menyokong cadangan Yang Berhormat ini kerana perkara tersebut sudah lama sepatutnya dilaksanakan. Sepatutnya, POIC dibangunkan lebih awal daripada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura,” katanya ketika menggulung perbahasan berhubung cadangan berkenaan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menurut Johari, POIC Lahad Datu yang mempunyai keluasan lebih 4,400 ekar memiliki beberapa kelebihan, termasuk ketersediaan tanah, kemudahan pelabuhan dengan kedalaman yang mencukupi serta potensi pembangunan logistik dan penyimpanan.
Beliau berkata, kawasan itu juga berpotensi menyokong pembangunan rantaian industri kelapa sawit, meliputi aktiviti pemprosesan, penapisan, oleokimia dan penghancuran isirung sawit.
Katanya, Sabah dan Sarawak secara bersama menghasilkan hampir sembilan juta tan metrik minyak sawit mentah (CPO), bersamaan kira-kira 45 peratus daripada jumlah pengeluaran negara yang dianggarkan 20 juta tan metrik.
Bagi merealisasikan cadangan itu, Johari menyarankan supaya khidmat perunding diperoleh menerusi kerjasama dengan kerajaan negeri bagi menyediakan kertas cadangan serta mengenal pasti sektor industri yang sesuai dibangunkan.
“Selepas itu, kita boleh mengadakan pembentangan. Saya juga akan menyokong cadangan ini untuk dibawa kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi. Di pihak MITI, kita akan meneliti aspek industri yang hendak dibangunkan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa sektor yang ingin diberikan tumpuan perlu dikenal pasti secara khusus dan terperinci bagi memastikan pembangunan zon ekonomi khas itu dapat memberikan manfaat kepada Sabah.
Sementara itu, Ewon merakamkan penghargaan atas sokongan MITI terhadap cadangan berkenaan dan berharap kerajaan negeri mengambil tindakan susulan bagi merealisasikannya.
Beliau turut menjemput Johari melawat POIC Lahad Datu sebagai langkah awal untuk memperkukuh kerjasama antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan.
“Saya juga mewakili Kerajaan Sabah menjemput Yang Berhormat Menteri untuk turun ke Sabah dan bersama-sama melawat POIC sebagai langkah awal sokongan terhadap cadangan yang telah kita rekodkan di dalam Dewan ini,” katanya.
Pada 13 Oktober lalu, Ewon mencadangkan supaya POIC Lahad Datu dijadikan zon ekonomi khas BIMP-EAGA ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, penglibatan Kerajaan Persekutuan penting bagi menjayakan usaha itu serta memperkukuh pembangunan perindustrian di Sabah.-DAKWAT RAKYAT POST
