KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah yang aktif di sekitar Lembah Klang dengan merampas hampir 394 kilogram (kg) dadah bernilai RM2.15 juta menerusi sembilan serbuan dalam tempoh empat hari.
Operasi yang dijalankan bermula 19 Oktober itu menyasarkan beberapa lokasi di Cheras, Brickfields, Dang Wangi dan Ampang, Selangor.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata operasi bersepadu itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur dengan kerjasama JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
Beliau berkata, serbuan berkenaan membawa kepada penahanan 23 suspek termasuk enam warga asing berusia antara 21 hingga 40 tahun.
Katanya, operasi pertama membabitkan empat serbuan di tiga kondominium di Sungai Besi, Cheras dan Bandar Baru Seri Petaling.
“Seramai 10 lelaki ditahan, manakala polis merampas 123.574kg disyaki MDMA dalam 530 paket plastik, 59.05kg MDMA cecair dalam 190 botol serta sejumlah ketamin.
“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan RM250,300,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Fadil berkata, operasi kedua pada 20 Oktober membabitkan empat serbuan di Sungai Besi, Taman Sri Endah, Ampang Mewah dan Bukit Bintang, dengan 11 suspek ditahan.
“Rampasan dalam operasi itu termasuk 52.75kg disyaki MDMA, 130.8kg MDMA cecair, 9.76kg serbuk MDMA, 365 gram pil ekstasi, 290 gram ketamin, 1,250 pil Erimin 5 seberat 385 gram serta 5.5kg lagi MDMA cecair.
“Nilai dadah yang dirampas dianggarkan RM312,765,” katanya.
Beliau berkata, operasi ketiga pada 22 Oktober di sebuah kondominium di Pudu mencatatkan rampasan dadah bernilai paling tinggi.
“Polis merampas 10.605kg disyaki MDMA dan satu gram metamfetamina dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1,590,782,” katanya.
Secara keseluruhan, Fadil berkata, jumlah rampasan dadah daripada ketiga-tiga operasi itu ialah 393.965kg, dengan nilai dianggarkan RM2,153,847.
“Dadah yang dirampas itu dianggarkan mampu membekalkan bekalan kepada 1.31 juta pengguna pada satu-satu masa, berdasarkan anggaran penggunaan sebanyak 0.3 gram bagi setiap individu,” katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket terbabit mempunyai anggota yang menjalankan peranan berbeza termasuk individu yang dipercayai bertindak sebagai ketua, pengedar dan pihak yang membantu melancarkan operasi mereka.
Katanya, polis turut menyiasat kemungkinan wujud hubungan antara suspek yang ditahan dan tidak menolak kemungkinan tangkapan lanjut dilakukan.
“Operasi ini hasil risikan berterusan JSJN Kuala Lumpur serta kerjasama orang ramai.
“Polis akan mempergiat penguatkuasaan terhadap semua peringkat kegiatan pengedaran dadah, daripada pengeluaran dan penyimpanan hingga pengedaran serta pengguna akhir,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah diminta menghubungi talian hotline JSJN di 012-208 7222 bagi membantu siasatan.
Kredit sumber: Berita Harian
