KUALA LUMPUR: Sebanyak 18 syarikat disyaki berpakat dalam kartel tipuan bida membabitkan 30 tender bernilai RM108.3 juta, termasuk kontrak pembekalan makanan ke sekolah dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Perkara itu didedahkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, yang berkata Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengeluarkan Keputusan Cadangan Baharu terhadap 18 perusahaan terbabit pada 13 Oktober lalu.
Beliau berkata, siasatan itu membabitkan tender pembekalan makanan dan perkhidmatan pembersihan yang dibuka oleh 12 entiti sektor awam.
“Antara bukti yang diperoleh MyCC ialah penyelarasan dan penyediaan dokumen tender secara berpusat, pertukaran maklumat termasuk harga bidaan yang dicadangkan serta perkongsian kewangan dan sumber manusia antara perusahaan terbabit,” katanya.
Menurutnya, tender berkenaan membabitkan enam kementerian, tiga institusi pengajian tinggi awam (IPTA), dua Jabatan Agama Islam Negeri dan sebuah badan berkanun Persekutuan.
Armizan berkata, perusahaan terbabit diberi peluang mengemukakan representasi kepada MyCC sebelum keputusan akhir dibuat berdasarkan penjelasan serta bukti yang diperoleh sepanjang siasatan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat dasar bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, MyCC sudah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 58 syarikat berhubung isu tipuan bida menerusi Keputusan Cadangan dan Keputusan Akhir, dengan jumlah penalti keseluruhan RM98.49 juta.
Lebih membimbangkan, katanya, MyCC kini giat menyiasat 510 syarikat yang disyaki terbabit dalam aktiviti sama membabitkan tender sektor awam dan swasta bernilai lebih RM3 bilion.
Katanya, penguatkuasaan terhadap amalan tipuan bida dipertingkatkan selaras dasar perolehan kerajaan yang mengutamakan kaedah tender, termasuk penyediaan peruntukan tambahan mulai 2024 bagi memperkasakan unit berkaitan.
“Langkah itu bertujuan membanteras pakatan dalam proses tender, termasuk pembekalan makanan, bagi memastikan persaingan sihat dan ketelusan dalam perolehan sektor awam,” katanya-DAKWAT RAKYAT POST
