KOTA KINABALU: Enam lelaki yang mempunyai keseluruhan 75 rekod jenayah dan dadah diberkas polis kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rompakan berkumpulan bersenjata serta pecah rumah di beberapa daerah di Sabah.
Kesemua suspek berusia antara 30 hingga 43 tahun itu ditahan menerusi operasi khas Op Casa/Op Pintu yang dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, hasil siasatan mendapati kumpulan berkenaan dipercayai terbabit dalam 17 kes jenayah yang dilaporkan antara Januari hingga Ogos lalu, dengan jumlah kerugian dianggarkan RM304,500.
Menurutnya, kegiatan kumpulan itu mula dikesan susulan dua kejadian rompakan berkumpulan bersenjata dan pecah rumah yang berlaku secara berasingan di sekitar Kota Kinabalu pada Ogos lalu.
Susulan itu, satu pasukan petugas khas ditubuhkan pada September bagi menjalankan risikan serta mengesan individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.
“Hasil operasi, polis berjaya menahan enam suspek yang mempunyai keseluruhan 75 rekod jenayah membabitkan kesalahan jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Jauteh berkata, kumpulan itu dipercayai menyasarkan rumah kediaman mewah yang tidak berpenghuni sebagai lokasi untuk melakukan kegiatan pecah rumah.
Bagaimanapun, kumpulan berkenaan turut dipercayai menggunakan kekerasan dengan senjata tajam bagi menakutkan penghuni sekiranya terdapat individu di dalam rumah ketika kejadian.
Siasatan lanjut mendapati kumpulan itu dikaitkan dengan 17 kes melibatkan rompakan berkumpulan bersenjata, pecah rumah, kecurian dan pencerobohan rumah di beberapa daerah di Sabah.
Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas pelbagai barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah terbabit, termasuk jam tangan mewah, beg tangan berjenama, peralatan elektronik, sebuah kereta, peralatan memancing dan peti besi.
Menurut Jauteh, polis turut mengenal pasti beberapa lagi suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan itu, manakala tindakan lanjut sedang dijalankan.
Beliau berkata, kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah bagi mendapatkan arahan berhubung pertuduhan.
Kesemua suspek dijadualkan dituduh di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada Jumaat, 30 Oktober, mengikut beberapa peruntukan undang-undang.
Antaranya, Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan berkaitan rompakan berkumpulan serta rompakan dengan senjata atau cubaan menyebabkan kematian atau kecederaan parah, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pertuduhan lain turut membabitkan Seksyen 457, 411, 414 dan 447 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.
Jauteh berkata, kejayaan operasi itu merupakan langkah penting dalam usaha menumpaskan kumpulan yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan rompakan bersenjata dan pecah rumah di Sabah.
Beliau menegaskan polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terbabit dalam kegiatan jenayah.
Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu membanteras jenayah dan memastikan keselamatan masyarakat terus terpelihara.-DAKWAT RAKYAT POST
