PAPAR: Seorang lelaki berusia 50 tahun maut selepas tercampak keluar daripada lori tiga tan yang terbabas di Jalan Keningau-Kimanis, di sini, tengah hari tadi.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Penolong Kanan Penguasa Bomba Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.07 tengah hari.
Menurutnya, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah lori tiga tan yang membawa muatan besi terbabas.
“Pemandu lori berusia 50 tahun dilaporkan tercampak keluar daripada kenderaan akibat kemalangan itu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Nelson berkata, tiada operasi menyelamat dijalankan kerana mangsa sudah berada di luar kenderaan ketika pasukan bomba tiba.
Katanya, kehadiran pasukan bomba di lokasi adalah atas permohonan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tiada mangsa lain terlibat dalam kemalangan berkenaan.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, selepas pemeriksaan mendapati tiada bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.07 petang.-DAKWAT RAKYAT POST
