SEMPORNA: Seramai 65 calon telah selesai menjalani proses pembangunan dan persediaan untuk menjadi pengajar selam skuba bertauliah Professional Association of Diving Instructors (PADI) menerusi program yang disifatkan sebagai Kursus Pembangunan Instruktur PADI terbesar di dunia.
Pengarah Kursus PADI, Roihan Han, berkata program berkenaan menghimpunkan satu pasukan terdiri daripada pengarah kursus dan tenaga pengajar berpengalaman yang berganding bahu bagi memastikan kesemua calon mendapat latihan serta persediaan terbaik sebelum menduduki Peperiksaan Instruktur PADI (IE).
Menurutnya, perkara paling membanggakan sepanjang program itu ialah semangat positif, disiplin, profesionalisme, kerjasama berpasukan serta kesungguhan semua peserta untuk menimba ilmu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan Pengarah Kursus, CD Ketut Cariasa, CD Che Leong dan CD Mohammad Kazemi, selain tenaga pengajar yang memberikan komitmen penuh dalam membimbing kesemua 65 calon.
Katanya, sumbangan tenaga pengajar bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah turut mencurahkan pengalaman, kesabaran dan komitmen sepenuhnya bagi membangunkan keupayaan setiap calon.
Roihan turut menghargai sokongan Tabung Pembangunan Kemahiran Malaysia, ELMU TVET dan Ocean Lab selaku penaja serta penyokong program berkenaan.
Beliau berkata, sokongan itu bukan sahaja membantu menjayakan program berkenaan, malah membuka peluang melahirkan tenaga profesional serta menyumbang kepada perkembangan industri selam skuba.
Dalam pada itu, beliau menyeru kesemua 65 calon supaya terus fokus, yakin dengan latihan yang diterima dan memberikan prestasi terbaik dalam Peperiksaan Instruktur PADI akan datang.
Beliau turut mengajak orang ramai memberikan kata-kata semangat kepada semua calon yang telah bekerja keras untuk merebut peluang menjadi pengajar PADI.
Roihan yang juga pemegang Malaysia Book of Records bagi rekod penyelaman paling dalam di Sipadan berkata, kejayaan program itu merupakan hasil usaha bersama semua pihak yang terlibat.
Beliau turut merakamkan penghargaan khusus kepada Joe Starz atas usaha merakamkan detik-detik sepanjang program berkenaan.
Program itu adalah usaha yang penting dalam melahirkan lebih ramai tenaga pengajar profesional sekali gus memperkukuh pembangunan modal insan dan masa depan industri selam skuba.
Terdapat peserta dari Jerman, Indonesia turut mengikuti kursus ini.-DAKWAT RAKYAT POST
