TAWAU: Semua koperasi di Sabah digesa merebut peluang dalam sektor pelancongan bagi menjana pendapatan baharu dan memperluas manfaat ekonomi kepada anggota masing-masing menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.
Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Sabah, Awang Rusli Mohammad berkata, sektor pelancongan mempunyai potensi besar untuk diterokai gerakan koperasi selain bidang makanan dan minuman (F&B).
Katanya, koperasi tidak seharusnya hanya bergantung kepada aktiviti perniagaan sedia ada, sebaliknya perlu berani meneroka peluang baharu yang mampu memberikan pulangan lebih baik kepada anggota.
“Koperasi perlu melihat ke hadapan dan mengenal pasti perniagaan yang boleh dibangunkan, terutama sektor pelancongan yang akan mendapat perhatian sempena Tahun Melawat Sabah 2027.
“KPMKTB sudah menguruskan resort dan restoran, malah kakitangan yang dilantik adalah anak anggota koperasi sendiri. Ini satu perubahan besar kerana mereka tidak perlu lagi keluar dari Kalabakan untuk mencari pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran Agihan Pendapatan Bulanan Anggota Koperasi Pembangunan Murut Kalabakan Tawau Berhad (KPMKTB) Kali Kedua Tahun 2026, di Kalabakan, hari ini.
Menurutnya, usaha memperluas aktiviti perniagaan koperasi turut disokong kemudahan pembiayaan dan bantuan disediakan SKM, termasuk pinjaman sehingga RM30 juta dengan cagaran serta pembiayaan sehingga RM3 juta bagi sektor keterjaminan makanan.
Katanya, kemudahan itu perlu dimanfaatkan koperasi untuk mengembangkan perniagaan termasuk pelaburan dalam aset seperti tanah dan bangunan yang berpotensi menjadi sumber pendapatan jangka panjang.
Dalam perkembangan sama, Awang Rusli berkata, KPMKTB turut menunjukkan perkembangan positif dalam pengurusan ladang apabila pengeluaran hasil meningkat 50 peratus daripada 1,000 tan kepada 1,500 tan pada bulan kedua operasi.
Katanya, pengeluaran itu berpotensi meningkat kepada antara 2,000 hingga 3,000 tan dalam tempoh enam bulan akan datang sekiranya kerja penyelenggaraan ladang dipertingkatkan.
“Masih ada kira-kira 60 peratus kawasan yang perlu diberi perhatian termasuk kerja pembersihan, pembajaan, rawatan pokok dan pembaikan jalan ladang.
“Jika semua ini dilaksanakan dengan baik, kita yakin hasil pengeluaran dapat ditingkatkan sekali gus memberi pulangan lebih besar kepada anggota koperasi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi KPMKTB, Asfaliza Batan berkata, pihaknya merancang mempertingkatkan kemudahan rumah rehat yang diuruskan koperasi itu bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Kalabakan.
Katanya, penambahbaikan akan membabitkan aspek kualiti penginapan, landskap dan perkhidmatan supaya kemudahan berkenaan mampu menjadi antara tarikan pelancongan di daerah itu.
“Kami sudah menyediakan beberapa pakej pelancongan, namun pelaksanaannya masih memerlukan penelitian terutama dari aspek keselamatan.
“Kami perlu berbincang lebih lanjut dengan Pejabat Daerah dan polis Kalabakan sebelum pakej berkenaan dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama dan perpaduan antara anggota lembaga serta seluruh anggota koperasi juga penting bagi memastikan setiap perancangan dapat direalisasikan dan koperasi terus berkembang.-DAKWAT RAKYAT POST
