KENINGAU: Penguatkuasaan undang-undang dan pemantauan keselamatan di kawasan pedalaman Sabah perlu dipertingkatkan bagi membendung pemilikan serta penggunaan senjata secara haram yang berpotensi mengancam keselamatan masyarakat.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) P.180 Keningau, Datuk Azman Hj Ruslan berkata, langkah lebih menyeluruh perlu dilaksanakan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam, khususnya di kawasan pedalaman, sentiasa terpelihara.
Beliau berkata, tindakan pantas dan tegas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan penguatkuasaan, termasuk kejayaan merampas 42 laras senapang angin dan 456 butir peluru di Sook baru-baru ini, wajar diberikan penghargaan.
Menurutnya, kejayaan rampasan itu mencerminkan komitmen serta profesionalisme pihak polis dalam membanteras pemilikan dan penggunaan senjata yang boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan penduduk.
Dalam pada itu, Azman turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang terlibat dalam kejadian tragis baru-baru ini.
Katanya, kehilangan nyawa pada usia begitu muda merupakan satu tragedi menyedihkan yang seharusnya meningkatkan kesedaran serta keprihatinan semua pihak terhadap aspek keselamatan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa memperketatkan penguatkuasaan undang-undang, meningkatkan pemantauan serta mengambil langkah pencegahan lebih menyeluruh bagi membanteras pemilikan dan penggunaan senjata api secara haram.
Beliau menegaskan penduduk di kawasan pedalaman juga berhak menikmati persekitaran yang aman dan selamat, selain bebas daripada ancaman jenayah serta penyalahgunaan senjata.
Pada masa sama, Azman berharap kerjasama antara pihak berkuasa dengan masyarakat setempat terus diperkukuhkan, khususnya dalam penyaluran maklumat dan pelaksanaan langkah pencegahan bagi melindungi nyawa serta keselamatan orang ramai.
“Keselamatan rakyat adalah keutamaan. Jangan tunggu tragedi berlaku untuk kita bertindak,” katanya menerusi hantaran di Facebook.-DAKWAT RAKYAT POST
