TUNGKU: Keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat terus diberi perhatian apabila Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.60 Tungku mengadakan Program Ziarah Kasih dan penyampaian sumbangan bakul makanan di sekitar Mukim Tungku dan Ulu Tungku, baru-baru ini.
Program pada 29 Oktober lalu itu diketuai Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.60 Tungku, Muhammad Shayid GulamRasul bersama kakitangan UPPM menerusi lawatan ke kediaman beberapa warga emas di kawasan terbabit.
Menerusi program itu, sumbangan bakul makanan serta wang peribadi turut disampaikan kepada penerima sebagai tanda keprihatinan dan usaha membantu meringankan beban mereka dalam menjalani kehidupan seharian.
Dalam lawatan sama, Muhammad Shayid turut turun padang bagi melihat sendiri keadaan pemohon Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ), selain memantau dan meneliti kelayakan mereka yang memohon bantuan berkenaan.
Pendekatan itu bertujuan memastikan inisiatif kerajaan berkenaan benar-benar dinikmati golongan yang layak, khususnya keluarga yang dikategorikan sebagai miskin tegar dan memerlukan kediaman lebih sempurna.
Muhammad Shayid berkata, kebajikan dan kesejahteraan masyarakat di kawasan Tungku, khususnya golongan warga emas serta keluarga kurang berkemampuan, sentiasa menjadi perhatian pihaknya.
Menurutnya, pemantauan secara turun padang penting bagi mendapatkan gambaran sebenar keadaan pemohon, sekali gus memastikan setiap permohonan Rumah SMJ dinilai berdasarkan keperluan dan kelayakan sebenar.
Beliau menegaskan tidak mahu inisiatif kerajaan yang bertujuan membantu rakyat disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab demi kepentingan peribadi.
“Kita mahu memastikan bantuan dan inisiatif kerajaan sampai kepada golongan yang benar-benar layak, terutama mereka yang tergolong dalam kategori miskin tegar.
“Sebab itu, kita turun sendiri ke lapangan untuk melihat keadaan pemohon dan meneliti keperluan mereka. Kita tidak mahu kemudahan yang disediakan kerajaan ini disalahgunakan oleh pihak tertentu,” katanya.
Beliau berkata, keprihatinan terhadap masyarakat bukan hanya melalui penyampaian bantuan, tetapi juga dengan turun padang melihat sendiri keadaan dan keperluan penduduk.
“Kita berharap usaha seperti ini dapat membantu meringankan beban penerima, selain memastikan hubungan antara pihak UPPM dengan masyarakat setempat terus erat,” katanya.
Menurutnya, program ziarah seumpama itu juga menjadi medium untuk mendekati masyarakat secara lebih dekat, mendengar keperluan mereka serta memahami keadaan kehidupan penduduk setempat.
Usaha berkenaan mencerminkan kepentingan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam masyarakat, terutama dalam memastikan golongan yang memerlukan tidak terpinggir daripada perhatian.
Diharapkan sumbangan yang disampaikan dapat memberi manfaat kepada para penerima, selain membawa sedikit keceriaan dan meringankan keperluan harian mereka.-DAKWAT RAKYAT POST
