MUKAH: Sepasang suami isteri ditahan polis selepas disyaki mengugut untuk membunuh seorang wanita berusia 69 tahun dan suaminya dalam kejadian di sebuah rumah panjang di Sungai Sepudun, Balingian, di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal bin Alias berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi pada 2 November lalu apabila pengadu didatangi adiknya bersama isteri di kediaman mereka.
Menurutnya, kedua-dua suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk sebelum berlaku pertengkaran selepas pengadu menegur dan meminta mereka berhenti meminum tuak.
“Semasa kejadian, kedua-dua suspek dipercayai mengeluarkan kata-kata ugutan untuk membunuh pengadu dan suaminya.
“Salah seorang suspek kemudian masuk ke dalam bilik dan dilihat memegang sebilah parang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan laporan polis yang dibuat mangsa, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Mukah menjalankan siasatan sebelum menahan kedua-dua suspek kira-kira jam 4 petang pada hari sama.
Suspek terdiri daripada seorang lelaki berusia 57 tahun dan seorang wanita berusia 21 tahun.
Polis turut merampas sebilah parang berukuran 23 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
Kedua-dua suspek direman selama tiga hari sehingga 6 November ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Muhamad Rizal berkata, polis turut menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan saksi bebas yang berkaitan serta melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan pergaduhan atau mengancam keselamatan, khususnya ketika berada di bawah pengaruh alkohol.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan serta memastikan keselamatan masyarakat setempat.-DAKWAT RAKYAT POST
