Georgetown: Tindakan seorang lelaki cuba membawa 40 kilogram bunga ganja bernilai RM3.2 juta ke London menggunakan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, gagal selepas dia ditahan pada 18 Oktober lalu.
Suspek yang berusia 28 tahun itu ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang kira-kira jam 5 petang ketika berada di ruang menunggu lapangan terbang berkenaan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, pemeriksaan terhadap bagasi yang dibawa suspek menemukan 40 kilogram bunga ganja yang disyaki untuk diseludup ke London.
“Hasil siasatan mendapati suspek yang juga penganggur berasal dari Miri, Sarawak itu dipercayai baru dua hari tiba di Pulau Pinang.
“Suspek juga dipercayai pertama kali terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah menerusi udara bagi merentas sempadan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.
Dennis berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah selain mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah.
“Suspek bersetuju menjadi keldai dadah dengan bayaran sebanyak RM9,000.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Kredit sumber: Harian Metro – Disiarkan pada 2 November 2026
