KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot kargo yang disyaki membawa petrol, barangan kawalan berjadual serta baja amonium nitrat tanpa kebenaran polis dalam operasi penguatkuasaan di perairan Dogoton, Pulau Banggi, hari ini.
Pengarah Maritim Zon Kudat, Komander Maritim Hasbullah bin Omar berkata, bot berkenaan ditahan pada kedudukan kira-kira 0.4 batu nautika tenggara Dogoton hasil maklumat risikan yang diterima pihaknya.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati bot kargo itu dikendalikan empat individu terdiri daripada seorang warga Malaysia dan tiga warga Filipina berusia antara 20 hingga 30 tahun.
“Kesemua individu bersama bot serta barangan yang dianggarkan bernilai RM150,000 ditahan untuk tindakan lanjut.
“Bot berkenaan kemudian diiring ke Jeti Pelabuhan Kudat bagi menjalani pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, penahanan itu merupakan hasil risikan serta kecekapan anggota operasi dalam mengesan dan mengekang aktiviti mencurigakan di perairan Pulau Banggi.
Katanya, Maritim Malaysia akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di perairan negara diminta menyalurkannya kepada Maritim Malaysia menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611 858.-DAKWAT RAKYAT POST
