TAWAU: Seorang pekerja kebun kelapa sawit dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan membunuh anak rakan sekerjanya berusia 11 tahun selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendapati dia tidak siuman ketika kejadian, tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos membuat keputusan itu terhadap Paulus Poko Lolo, 36, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya meyakinkan mahkamah atas imbangan kebarangkalian bahawa tertuduh tidak siuman ketika kejadian.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan Paulus ditempatkan dalam jagaan selamat di Penjara Tawau sementara menunggu perintah Yang di-Pertua Negeri Sabah mengikut Seksyen 348 Kanun Tatacara Jenayah.
Mengikut pertuduhan, Paulus didakwa membunuh Nugi @ Anugrah Samsudin di hadapan sebuah rumah, Perumahan Lestari, Kampung Indera Bakti, Ladang Sahabat 30, Lahad Datu, antara jam 7 hingga 7.30 pagi, 23 September 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, sebatan tidak kurang 12 kali.
Dalam penghakimannya, Steve mendapati tertuduh menyebabkan kecederaan tetakan pada leher dan tangan kiri mangsa menggunakan objek tajam.
Namun, mahkamah mendapati tertuduh tidak siuman ketika itu sehingga tidak berupaya mengetahui sifat perbuatannya yang salah atau bertentangan dengan undang-undang.
Mahkamah turut mendapati tertuduh tidak siuman dari sudut perubatan dan undang-undang ketika mangsa dibunuh.
Sehubungan itu, tertuduh dibebaskan daripada pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 84 Kanun Keseksaan dan Seksyen 347 Kanun Tatacara Jenayah.
Pembelaan tertuduh bersandarkan keterangannya sendiri dan keterangan Pakar Perunding Psikiatri Forensik Hospital Mesra Bukit Padang, Dr Chua Sze Hung, selain laporan psikiatri forensik bertarikh 20 Disember 2023.
Dalam alasan penghakiman itu, mahkamah menyatakan pihak pendakwaan tidak mencabar kelayakan profesional Dr Chua dan tidak memanggil pakar psikiatri lain untuk menyangkal kesimpulannya.
Dr Chua memberikan keterangan bahawa tertuduh menghidap skizofrenia.
Sepanjang perbicaraan, pendakwaan memanggil tujuh saksi sebelum mahkamah memerintahkan tertuduh membela diri pada 20 Ogos lalu selepas mendapati kes prima facie berjaya dibuktikan.
Pada peringkat pembelaan, tertuduh memilih memberikan kenyataan tanpa bersumpah dari kandang tertuduh dan memanggil Dr Chua sebagai saksi pembelaan kedua.
Dalam kenyataannya, tertuduh mendakwa terdengar suara menyuruhnya menetak seseorang sebelum mengambil parang dari dapur, selain mendakwa dirinya tidak waras ketika melakukan perbuatan itu.
Sementara itu, Peguam Jhasarry P Kang yang mewakili tertuduh berhujah bahawa keterangan pakar menunjukkan anak guamnya mengalami gejala psikosis sebelum kejadian dan keadaannya semakin merosot ketika insiden itu.
Menurut lagi, gejala berkenaan termasuk halusinasi pendengaran dan penglihatan, suara yang memberikan arahan dan delusi bahawa dirinya diancam.
Jhasarry turut berhujah bahawa tertuduh mengalami perubahan tingkah laku, termasuk keresahan dan kurang berinteraksi, selain tidak hadir bekerja kira-kira seminggu sebelum kejadian.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fillanny Siji.-DAKWAT RAKYAT POST
