LAHAD DATU: Kelemahan sistem siren amaran awal, kekangan aset logistik serta keperluan meningkatkan kecekapan komunikasi antara agensi dikenal pasti antara aspek yang perlu diberi perhatian dalam menghadapi ancaman bencana tsunami di daerah ini.
Perkara itu dikenal pasti menerusi Program Simulasi Latih Amal Bencana Tsunami Tabletop Exercise (TTX) dan Field Training Exercise (FTX) Zon Lahad Datu 2026 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang berlangsung di sekitar daerah ini, hari ini.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Hakim yang hadir dalam acara tersebut berkata tahun ini latihan program seumpama ini telah diadakan di Kudat dan selepas ini akan diadakan di Sandakan.
Program yang diketuai Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzul itu melibatkan kira-kira 450 peserta terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri, pasukan keselamatan, golongan belia serta komuniti setempat.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Haji Dzulbaharin Haji Ismail berkata, latihan berkenaan melibatkan 192 pegawai dan anggota agensi kerajaan dengan tujuh insiden simulasi merangkumi 32 mangsa termasuk tujuh kematian berdasarkan senario bencana yang diwujudkan.
Menurutnya, antara kelemahan yang dikenal pasti ialah sistem siren amaran tsunami yang kurang jelas didengari penduduk serta keperluan menaik taraf aset komunikasi bagi memastikan penyampaian maklumat kecemasan lebih berkesan.
Beliau turut mencadangkan penglibatan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) diperkasakan bagi membantu penyelarasan tindakan pemindahan dan penyampaian maklumat kepada komuniti setempat.
Sementara itu, Firuz Idzualdeen berkata, pengoperasian Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) secara keseluruhannya berjalan lancar, namun beberapa kekangan melibatkan pengangkutan, pergerakan anggota dan penyelarasan komunikasi perlu ditambah baik.
Katanya, penggunaan satu saluran komunikasi radio yang seragam antara agensi wajar dipertimbangkan bagi mengelakkan gangguan serta memastikan arahan operasi dapat disampaikan dengan lebih cepat dan tepat.
Beliau turut menjelaskan bahawa kedudukan beberapa agensi sokongan di Sandakan, Kota Kinabalu dan Tawau boleh mempengaruhi tempoh ketibaan bantuan sekiranya berlaku bencana sebenar di Lahad Datu.
Dalam latihan tersebut, satu senario gempa bumi berukuran 8.0 skala Richter di Laut Sulawesi telah disimulasikan sebelum amaran tsunami kategori merah dikeluarkan dengan jangkaan gelombang melanda pesisir pantai Pulau Sakar dan Tungku.
Simulasi kemudian diteruskan dengan pengaktifan PKOB, pemindahan penduduk, operasi mencari dan menyelamat (SAR) di enam sektor, pengurusan mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta penilaian kerosakan dan pemulihan infrastruktur.
Seramai 35 mangsa turut didaftarkan di PPS sebagai sebahagian daripada latihan pengurusan pemindahan penduduk.
Dalam pada itu, Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi NADMA, DCP Datuk Mazli Mazlan memaklumkan sebanyak RM450,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan latihan pengurusan bencana di Sabah.
Menurutnya, NADMA berpuas hati dengan komitmen agensi yang mengambil bahagian, namun masih terdapat ruang penambahbaikan khususnya dari aspek logistik, penyelarasan operasi serta penyediaan prosedur operasi standard (SOP) yang bersesuaian dengan keadaan geografi Sabah.
Beliau turut mencadangkan supaya Lahad Datu mempunyai pelan pengurusan bencana tsunami khusus yang dapat dijadikan panduan bersama oleh semua agensi berkaitan.
Antara langkah penambahbaikan yang dicadangkan termasuk mengintegrasikan sistem amaran awal dengan pembesar suara masjid dan gereja, memperluaskan penggunaan dron untuk pemantauan kawasan bencana serta meningkatkan kesiapsiagaan aset komunikasi dan penyelamatan.
NADMA turut menekankan kepentingan penyampaian maklumat yang tepat melalui pusat kawalan operasi bagi mengelakkan kekeliruan dan panik dalam kalangan masyarakat ketika berdepan situasi kecemasan.
Secara keseluruhannya, latihan tersebut berjaya menguji tahap kesiapsiagaan dan kerjasama antara agensi, selain mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki bagi memastikan tindakan lebih pantas dan terselaras sekiranya berlaku bencana sebenar.
Program yang pada asalnya dijadualkan berakhir pada 5 November itu diselesaikan lebih awal pada petang Rabu tanpa sebarang insiden keselamatan dilaporkan- DAKWAT RAKYAT POST
