KUCHING: Dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sungai Apong, di sini, pada 2 November lalu.
Serbuan kira-kira jam 6 petang itu dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga anak Chabu berkata, ketiga-tiga suspek terdiri daripada lelaki berusia 18 dan 25 tahun serta seorang wanita berusia 20 tahun.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap semua suspek menemukan dadah disyaki jenis methamphetamine dengan anggaran berat 5.55 gram.
“Nilai pasaran rampasan dadah itu dianggarkan sebanyak RM610,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Semakan rekod jenayah lampau pula mendapati suspek lelaki berusia 18 tahun tidak mempunyai rekod jenayah, manakala lelaki berusia 25 tahun mempunyai tujuh rekod lampau dan suspek wanita mempunyai satu rekod.
Kesemua suspek direman selama empat hari bermula 4 hingga 7 November ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta sebatan antara tiga hingga sembilan kali, jika sabit kesalahan.
Alexson berkata, kejayaan tangkapan dan rampasan itu hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam.
Beliau menegaskan PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dan komited membanteras ancaman berkenaan demi melindungi masyarakat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menyalurkannya menerusi Hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN Kontinjen Sarawak di talian 017-592 9211.-DAKWAT RAKYAT POST
