TAWAU: Seorang kanak-kanak lelaki ditemukan rentung selepas terperangkap dalam kebakaran besar membabitkan 30 rumah di Kampung Sentosa, Jalan Utara Baru Hilltop, di sini, pagi tadi.
Mangsa, Jackson Zack, 12 tahun ditemukan pasukan bomba di bahagian bilik tidur rumahnya kira-kira jam 10 pagi selepas operasi pemadaman dan pemeriksaan dijalankan di lokasi kejadian.
Ketua Zon Tawau Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Moiley Milin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.44 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan seminit kemudian.
Katanya, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 6.47 pagi dan mendapati enam rumah jenis separuh kekal serta tidak kekal sedang terbakar ketika itu.
“Bagaimanapun, berdasarkan perkembangan operasi sehingga jam 8 pagi, kebakaran didapati merebak dan membabitkan keseluruhan 30 rumah.
“Pasukan bomba kemudian menemukan seorang mangsa rentung di bahagian bilik tidur rumahnya kira-kira jam 10 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Moiley berkata, operasi pemadaman berdepan beberapa cabaran berikutan kedudukan rumah yang terlalu rapat antara satu sama lain selain laluan masuk yang sempit.
Menurutnya, keadaan itu turut diburukkan dengan ketiadaan pili bomba berhampiran lokasi kebakaran, sekali gus menyukarkan usaha mendapatkan bekalan air untuk operasi pemadaman.
“Untuk operasi kali ini, kita sedia maklum keadaan rumah sangat rapat dan jalan pula sempit, ditambah lagi dengan ketiadaan pili bomba.
“Keadaan ini memerlukan pasukan bomba mengatur strategi pemadaman menggunakan beberapa aliran air bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak,” katanya.
Beliau berkata, seramai 48 anggota bomba dengan bantuan 14 anggota Bomba Komuniti Kampung Titingan terbabit dalam operasi berkenaan.
“Operasi itu turut mendapat bantuan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), KKM, Jabatan Air Negeri Sabah dan Sabah Electricity,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Moiley berkata, kebakaran itu menyebabkan kira-kira 7,124.84 meter persegi kawasan musnah, selain sebuah kereta Perodua Kancil turut terbakar sepenuhnya.
“Bagaimanapun, tindakan pantas pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan kira-kira 250 rumah daripada turut dijilat api.
“Operasi pemadaman dilaporkan terkawal pada jam 8 pagi, manakala kerja pemeriksaan dan overhaul diteruskan bagi memastikan tiada lagi punca api atau mangsa lain di lokasi kejadian,” katanya- DRP
