TELUK INTAN: Seorang lelaki maut selepas menjadi mangsa serangan tiga individu bersenjatakan parang dalam kejadian di hadapan sebuah premis perniagaan di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Chua Kok Lian berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu menerusi panggilan kecemasan 999 daripada orang awam kira-kira jam 3.53 petang.
Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan serius kemudian dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan hospital berkenaan akibat kecederaan parah.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai diserang tiga lelaki yang identitinya masih belum dikenal pasti menggunakan senjata tajam jenis parang.
“Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, polis turut menahan seorang wanita warga tempatan berusia 27 tahun bagi membantu siasatan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian, termasuk melihat sebarang pergerakan individu atau kenderaan mencurigakan di sekitar lokasi, supaya tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan kepada IPD Hilir Perak menerusi talian 05-629 9222 atau dengan mengunjungi mana-mana balai polis berhampiran.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan gangguan terhadap proses siasatan- DAKWAT RAKYAT POST
