KOTA KINABALU: Cadangan membangunkan loji tenaga nuklear terapung atau Floating Nuclear Power Plant (FNPP) dilihat sebagai pilihan lebih fleksibel dan praktikal untuk Sabah berikutan negeri ini mempunyai garis pantai yang luas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, pendekatan itu membolehkan Sabah meneroka pembangunan tenaga nuklear dengan kos lebih fleksibel serta tempoh pembinaan lebih singkat berbanding loji nuklear konvensional di daratan.
Beliau yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah berkata, negeri ini bersedia menawarkan cadangan sebagai hab pangkalan pertama bagi pelaksanaan program tenaga nuklear berimpak tinggi berkenaan.
Menurutnya, kerajaan negeri dan Persekutuan boleh menjalinkan kerjasama strategik bagi merealisasikan pembangunan program itu, termasuk menerusi rundingan di bawah kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Keupayaan bekalan tenaga elektrik di negeri ini semakin meruncing dan masih jauh daripada mengimbangi kemajuan utiliti di Semenanjung.
“Sabah perlu bersedia menghadapi lonjakan permintaan tenaga elektrik menjelang 2031 selain mengurangkan kebergantungan kepada gas asli dan diesel yang terdedah kepada ketidaktentuan pasaran global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Masiung berkata, keperluan merangka strategi tenaga jangka panjang semakin mendesak susulan pergolakan geopolitik di Selat Hormuz serta ketidaktentuan ekonomi global yang boleh menjejaskan kestabilan bekalan dan harga bahan api.
Katanya, kebergantungan berterusan kepada bahan api fosil juga bukan penyelesaian mampan memandangkan sumber arang batu dan gas asli semakin terhad, selain sebahagiannya perlu diimport dari luar negara.
Beliau berkata, penggunaan teknologi FNPP berpotensi menawarkan pilihan pembangunan lebih terkawal berbanding pembinaan loji nuklear konvensional di daratan, selain menjadi antara pendekatan strategik mengurangkan pelepasan karbon.
Masiung berharap cadangan pembangunan tenaga nuklear terapung di Sabah dapat dibincangkan secara serius dan diterjemahkan menerusi rundingan dalam Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 bagi memastikan kepentingan negeri ini turut diberi perhatian dalam perancangan tenaga negara.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata, Sabah dan Semenanjung Malaysia merupakan lokasi paling praktikal untuk pembangunan loji tenaga nuklear pada dekad akan datang sekiranya negara bersetuju meneruskan cadangan berkenaan.-DAKWAT RAKYAT POST
