KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun yang dilaporkan hilang sejak dua hari lalu ditemukan dalam keadaan lemah di kawasan semak di Kampung Pulutan Membawang, Menggatal, hari ini.
Mangsa ditemukan pasukan bomba kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat, selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sejak petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa pada jam 6.29 petang semalam.
Menurutnya, mangsa kali terakhir dilihat dalam keadaan kebingungan di tepi jalan kampung kira-kira jam 4.30 petang, Selasa lalu.
Katanya, operasi pencarian pada peringkat awal tertumpu di kawasan tanah perkuburan, kandang ayam dan kebun pisang berhampiran sebelum ditangguhkan pada malam berkenaan.
“Operasi disambung semula pagi tadi dengan membahagikan anggota kepada tiga kumpulan, membabitkan pasukan bomba, Unit Anjing Pengesan (K9) dan penduduk kampung.
“Pasukan bomba akhirnya berjaya menemukan mangsa di kawasan semak kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat.
“Ketika ditemukan, mangsa berada dalam keadaan lemah dan mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Beliau berkata, mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan lanjut.
Operasi yang membabitkan 19 anggota bomba dengan bantuan polis serta penduduk kampung itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.30 petang.-DAKWAT RAKYAT POST
