KOTA KINABALU: Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) akan menyalurkan sumbangan kebajikan berjumlah RM200,000 hasil kutipan penajaan dan yuran penyertaan Kejohanan Golf Amal SEC 2026 yang berlangsung di Sutera Harbour Golf & Country Club pada 31 Oktober lalu.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM150,000 akan disalurkan kepada Yayasan Kebajikan Sabah, manakala baki RM50,000 akan diagihkan kepada badan-badan kebajikan lain di negeri ini yang akan dikenal pasti kelak.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEC, Datuk Ir Ts Adzmir Abd Rahman berkata, tanggungjawab membangunkan Sabah bukan hanya tertumpu kepada aspek ekonomi, malah turut merangkumi usaha menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, sumbangan itu diharap dapat membantu keluarga yang memerlukan sokongan untuk memenuhi keperluan asas, anak-anak yang memerlukan peluang pendidikan serta golongan yang sedang membina semula kehidupan selepas ditimpa musibah.
“Bantuan yang bermakna bermula dengan memahami keperluan mereka, disampaikan dengan menjaga maruah penerima dan diurus dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan oleh penaja dan peserta kejohanan itu merupakan amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan setiap sumbangan disalurkan kepada tujuan kebajikan yang ditetapkan.
Dalam pada itu, SEC merakamkan penghargaan kepada penaja Platinum, Sepangar Bay Power Corporation Sdn Bhd; penaja Gold, Supreme LNG, Gamuda Berhad dan Sistem Konsult Sdn Bhd, selain semua penaja Silver, penyumbang serta pasukan yang mengambil bahagian.
Adzmir berkata, kerjasama berkenaan mencerminkan peranan komuniti korporat dalam membantu menangani keperluan masyarakat, sekali gus memperluas manfaat pembangunan kepada rakyat Sabah.
Beliau berharap kerjasama seumpama itu dapat diteruskan bagi memperluas usaha kebajikan dan membantu lebih ramai golongan yang memerlukan.
Bertemakan “Swing with Purpose. Drive for Impact”, kejohanan golf amal itu menghimpunkan penaja, rakan perniagaan dan peserta untuk menyokong usaha kebajikan, di samping mengeratkan hubungan menerusi sukan golf.
Inisiatif berkenaan turut mencerminkan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) SEC dalam menyantuni keperluan masyarakat, selaras dengan pelbagai usaha syarikat dalam bidang pendidikan, kebajikan dan alam sekitar.-DAKWAT RAKYAT POST
