TAWAU: Masjid berpotensi menjadi pusat sokongan komuniti ketika berdepan gangguan bekalan elektrik apabila sebuah masjid di Kampung Saddani, di sini, menerima sumbangan sistem solar hibrid menerusi inisiatif Tawau Community Impact Programme.
Sistem berkapasiti 12 kilowatt (kW) dengan bateri simpanan 16 kW itu bukan sahaja dijangka menjimatkan kos bil elektrik masjid antara RM2,500 hingga RM3,500 setahun, malah mampu membekalkan tenaga sehingga 12 jam ketika berlaku gangguan bekalan elektrik.
Pengerusi Tawau Community Impact Programme, Dr Istefan Koh, berkata inisiatif itu bertujuan membantu masyarakat menangani masalah kemudahan asas, khususnya gangguan bekalan elektrik yang masih berlaku di beberapa kawasan di Tawau.
Beliau berkata, masjid dipilih sebagai lokasi pelaksanaan kerana berperanan sebagai tempat perhimpunan masyarakat, terutama ketika berlaku kecemasan atau gangguan kemudahan asas.
“Apabila berlaku gangguan bekalan elektrik, penduduk boleh berkumpul di masjid untuk mengecas telefon bimbit, berehat, manakala kanak-kanak dan pelajar boleh menggunakan kemudahan disediakan untuk meneruskan pembelajaran.
“Selain itu, penjimatan bil elektrik membolehkan pihak masjid menggunakan lebihan wang untuk mengadakan kelas agama atau membantu keperluan jemaah dan penduduk setempat,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis simbolik penyampaian Solar hybrid berkenaan di Masjid Nuurut Taqwa, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa masjid dan gereja untuk dipertimbangkan menerima kemudahan sama menerusi fasa seterusnya program berkenaan.
Katanya, pelaksanaan fasa pertama memberi tumpuan kepada kawasan dari Sri Tanjung hingga Balung, khususnya rumah ibadat di kawasan perkampungan dan luar bandar.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Nuurut Taqwa, Kampung Saddani, Suzamreh Haji Salleh, berkata sumbangan berkenaan amat bermakna kerana masjid sebelum ini menanggung kos bil elektrik yang tinggi berikutan penggunaan pelbagai peralatan termasuk pendingin hawa.
Beliau berkata, kos operasi masjid termasuk pembayaran bil elektrik selama ini banyak bergantung kepada sumbangan jemaah.
“Kami sangat bersyukur dan berterima kasih kerana masjid ini dipilih menerima kemudahan berkenaan. Ia bukan sahaja membantu mengurangkan perbelanjaan masjid, malah memberi manfaat besar kepada penduduk kampung.
“Masjid ini juga menjadi yang pertama di Sabah menerima sumbangan sistem solar seumpama ini,” katanya.
Menurutnya, Kampung Saddani lazimnya mengalami gangguan bekalan elektrik sekali atau dua kali sebulan, menyebabkan kemudahan berkenaan amat diperlukan penduduk.
Katanya, ketika berlaku gangguan elektrik, masjid boleh dijadikan tempat sementara untuk kanak-kanak meneruskan pembelajaran selain membolehkan penduduk mengecas telefon bimbit dan komputer riba.
Seorang jemaah, Azlan Mohd Zain, berkata pemasangan sistem solar itu sangat membantu penduduk yang sering berdepan kesukaran setiap kali bekalan elektrik terputus.
Beliau berkata, bil elektrik masjid sebelum ini mencecah antara RM700 hingga RM800 sebulan, sekali gus menjadikan inisiatif berkenaan mampu mengurangkan beban kewangan pengurusan masjid.-DAKWAT RAKYAT POST
