SEMPORNA: Sebanyak 940 liter petrol bernilai RM4,013.80 dirampas dalam tiga kes serahan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna hasil operasi penguatkuasaan di perairan daerah ini.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi KPDN Sabah, tiga kes berkenaan diserahkan oleh Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak dan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna pada 6 November lalu.
Daripada jumlah itu, dua kes melibatkan tindakan penguatkuasaan PGA di perairan Pulau Mataking yang membawa kepada penahanan dua individu serta rampasan 700 liter petrol.
Dalam operasi berasingan, PPM Semporna turut menyerahkan satu kes rampasan tanpa tuan di Kampung Labuan Haji, Pulau Bum Bum, membabitkan 240 liter petrol.
Kedua-dua individu yang ditahan dalam kes di perairan Pulau Mataking telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Selain petrol, pihak penguat kuasa turut menyita dua bot kayu dan dua enjin sangkut yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Susulan itu, KPDN Semporna membuka tiga kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
KPDN turut mengingatkan orang ramai serta syarikat supaya sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan kawalan bekalan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan.
Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, denda boleh dikenakan sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.-DAKWAT RAKYAT POST
