SIBU: Polis menahan sembilan individu berusia antara 16 hingga 42 tahun bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki yang dipercayai ditikam menggunakan senjata tajam dalam kejadian pergaduhan di sini.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin bin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu pada 7 November 2026, kira-kira jam 2 pagi.
Menurutnya, laporan berkenaan menyatakan pengadu telah dipukul oleh sekumpulan individu dalam satu insiden pergaduhan yang turut tular di media sosial Facebook.
Dalam kejadian sama, seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai mengalami kecederaan akibat tikaman menggunakan senjata tajam dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Sibu.
Susulan laporan itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Sibu menjalankan siasatan lanjut serta mengesan individu yang dipercayai terlibat.
Hasil risikan dan siasatan, polis berjaya menahan sembilan suspek di beberapa lokasi sekitar Sibu pada hari sama, antara jam 10 pagi hingga 4 petang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.-DAKWAT RAKYAT POST
