KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berdekatan Desa Melawati, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.48 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju dengan bantuan BBP Setapak dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kemalangan melibatkan seorang lelaki berusia 43 tahun yang menaiki kereta jenis Honda Civic itu, mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
Kemalangan turut membabitkan seorang lelaki berusia 19 yang menaiki kereta jenis Proton Wira yang patah bahagian kaki kiri serta luka dibahagian tangan dan kepala.
Bomba menggunakan Peralatan Road Traffic Accident (RTA) bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit sebelum menyerahkan mereka kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan polis untuk tindakan lanjut.
📸 JBPM
#BernamaNews
#kemalangan
