JAKARTA: Lebih 32,000 penduduk terjejas akibat banjir yang melanda wilayah Aceh, Indonesia sejak hujung minggu lalu, dengan ribuan rumah dinaiki air dan sebahagian penduduk terpaksa berpindah ke pusat perlindungan sementara.
Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Berton Panjaitan, berkata banjir di Kabupaten Pidie Jaya, utara Aceh di Pulau Sumatera menyebabkan sekurang-kurangnya 40 penduduk terpaksa berpindah ke tempat perlindungan sementara.
Beliau berkata, hujan lebat di kawasan hulu menyebabkan paras air di tiga batang sungai meningkat pada Ahad, mengakibatkan 8,608 rumah di 43 kampung serta kawasan pertanian berhampiran dinaiki air.
“Sehingga petang Selasa, banjir masih melanda beberapa kampung di Pidie Jaya, walaupun paras air di sesetengah kawasan telah mula surut, meninggalkan takungan air cetek dan lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berton berkata, kejadian benteng sungai yang pecah memburukkan lagi keadaan banjir, selain menyebabkan kerosakan pada rangkaian bekalan air bersih dan gangguan laluan utama Banda Aceh-Medan.
,Susulan itu, pasukan kecemasan menjalankan operasi pemindahan penduduk, mengagihkan bantuan makanan serta membaiki benteng sungai yang rosak.
Di kawasan lain di Aceh, banjir kilat melanda Kabupaten Gayo Lues susulan hujan lebat dari petang Sabtu hingga awal pagi Ahad, menjejaskan 390 penduduk daripada 126 keluarga di tiga kampung.
Empat rumah dihanyutkan arus banjir dan lumpur, manakala 111 lagi mengalami kerosakan serta 26 penduduk terpaksa berlindung di rumah saudara-mara.
Dua jambatan gantung dan beberapa kemudahan awam turut mengalami kerosakan.
Sementara itu, Berton berkata satu kejadian puting beliung turut melanda Kabupaten Sumbawa di wilayah Nusa Tenggara Barat pada Isnin, menjejaskan 23 keluarga dan merosakkan 23 rumah di enam kampung.
“Agensi pengurusan bencana tempatan masih menjalankan kerja pengumpulan data dan memantau perkembangan susulan bencana itu,” katanya.
Kredit sumber: BERNAMA/Berita Harian
