KOTA MARUDU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 22 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas kesalahan mencuri tembaga dan memiliki senapang angin tanpa lesen.
Tertuduh, Ahmad Azdi Halim, 36, dijatuhi hukuman penjara 10 bulan bagi kesalahan mencuri mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, manakala 12 bulan lagi bagi kesalahan memiliki senapang angin tanpa lesen mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Ferhanshah Farene Mohd Ferdaus semalam.
Mengikut fakta kes, kejadian berlaku pada 4 November lalu kira-kira jam 2 pagi apabila polis menerima maklumat berhubung kegiatan mencuri tembaga di tapak kolam udang di Kampung Kuyuh, Pitas.
Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu menjalankan serbuan sebelum menahan tertuduh.
Pemeriksaan terhadap tertuduh menemukan sebuah beg sandang yang mengandungi plastik berisi hablur jernih disyaki syabu seberat 40.44 gram.
Pemeriksaan lanjut ke atas sebuah kenderaan pacuan empat roda turut menemukan selaras senapang angin bersama enam kotak peluru timah yang disembunyikan di dalam kenderaan berkenaan.
Polis turut menemukan sisa tembaga di bahagian belakang kenderaan itu.
Tertuduh bersama barang rampasan kemudian dibawa ke IPD Kota Marudu untuk tindakan lanjut, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif dadah.
Kertas siasatan bagi kesalahan mencuri dan memiliki senjata kemudian dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebelum arahan pendakwaan diterima.
Sementara itu, siasatan berhubung penemuan bahan disyaki dadah masih diteruskan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 sementara menunggu keputusan analisis Jabatan Kimia.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan usaha penguatkuasaan bagi membendung kegiatan jenayah di daerah berkenaan.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis bagi membantu memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.-DAKWAT RAKYAT POST
