TAWAU: Seorang petani kontrak didenda RM7,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan memandu tanpa kecermatan dan perhatian sehingga menyebabkan kemalangan dengan penunggang motosikal, tahun lalu.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Chin Tou Kiang, 52, dan menetapkan penjara 10 bulan jika gagal membayar denda serta butiran sabitan dicatatkan pada lesen memandu tertuduh.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh membayar pampasan RM5,000 kepada Sadiah Sakka, ibu kepada mangsa yang meninggal dunia, Muhammad Zikrull Abdullah, 18.
Mengikut pertuduhan pindaan, Chin didakwa memandu Toyota Hilux tanpa kecermatan dan perhatian sepatutnya sehingga menyebabkan pelanggaran dengan sebuah motosikal ditunggang mangsa, di Batu 15, Jalan Apas, di sini, jam 2.56 petang, 13 April 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM10,000 dan boleh dipenjara sehingga 12 bulan serta sabitan hendaklah dicatatkan pada lesen memandu.
Terdahulu, tertuduh dibicarakan atas pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian remaja lelaki berkenaan.
Bagaimanapun, pada akhir kes pendakwaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen kesalahan itu sebelum meminda pertuduhan kepada Seksyen 43(1) akta sama.
Seramai enam saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan yang bermula pada 27 Julai lalu.
Tertuduh yang diwakili peguam, Ariel Christopher Dasan dan Dominic Chew Ban Huat memohon hukuman denda antara RM5,000 hingga RM6,000 dengan mengambil kira pendapatan bersih tertuduh sebanyak RM2,070 sebulan dan perlu menanggung keluarganya.
“Tertuduh yang berstatus duda menghidap diabetes, tekanan darah tinggi dan hanya mempunyai satu buah pinggang serta masih menjalani rawatan ubat-ubatan.
“Tertuduh juga menanggung ibu bapanya yang lanjut usia dan mempunyai masalah kesihatan serta menjaga seorang adik yang merupakan orang kurang upaya (OKU),” katanya.
Pihak pembelaan turut memohon mahkamah mengambil kira kesalahan pertama tertuduh, penyesalannya dan kerjasama penuh yang diberikan sepanjang siasatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh sedang memandu Toyota Hilux keluar dari simpang Jalan Bukit Quion menuju ke lorong sebelah kanan ketika motosikal ditunggang mangsa melanggar bahagian belakang kiri kenderaannya.
Siasatan lanjut mendapati motosikal berkenaan tidak dilengkapi brek hadapan, enjin asal sudah diubah suai, yang dipercayai dilakukan tanpa kelulusan sewajarnya daripada pihak berkuasa berkaitan serta tidak memiliki lesen menunggang motosikal yang sah.-DAKWAT RAKYAT POST
